Home Sukan Sukan Olimpik Tokyo dijadual semula tahun depan

Sukan Olimpik Tokyo dijadual semula tahun depan

KUALA LUMPUR – Sukan Olimpik Tokyo telah dijadualkan semula untuk diadakan dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021, iaitu tepat setahun daripada tarikh asal yang dirancang sebelum ini (24 Julai 2020), kata penganjur ketika mengesahkan perkara itu.

Ia diikuti Sukan Paralimpik dari 24 Ogos hingga 5 September 2021.

Tarikh baharu itu telah dipersetujui Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan kerajaan Jepun selepas satu persidangan telefon semalam.

Menurut kenyataan IOC, keputusan itu dibuat berdasarkan tiga pertimbangan utama iaitu bagi melindungi kesihatan atlet dan semua orang yang terlibat; membantu pembendungan virus Covid-19; menjaga kepentingan atlet dan Sukan Olimpik serta kalendar sukan antarabangsa.

“Dengan pengumuman ini, saya yakin bahawa menerusi jalinan kerjasama dengan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020, Kerajaan Metropolitan Tokyo dan Kerajaan Jepun serta semua pihak berkepentingan, kita boleh menghadapi cabaran yang belum pernah berlaku ini,” kata Presiden IOC, Thomas Bach dalam kenyataan itu.

Thomas dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada Selasa lepas bersetuju untuk menunda temasya sukan dunia itu susulan penularan wabak Covid-19, namun namanya kekal Tokyo 2020.

Presiden Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020, Mori Yoshiro berkata, masa secukupnya diperlukan bagi sesi pemilihan dan kelayakan atlet selain latihan dan persediaan mereka, yang menyaksikan sukan itu dijadualkan semula pada musim cuti musim panas akan datang di Jepun.

“Meskipun penangguhan Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik ini adalah yang pertama dalam sejarah dan pelbagai isu lain telah diketengahkan, jadual acara ini merupakan asas bagi persiapan pada masa depan.

“Saya yakin bahawa langkah membuat keputusan ini dengan segera akan membantu mempercepatkan persediaan masa depan. Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 akan terus bekerja keras bagi memastikan kejayaan Sukan Olimpik tahun depan,” katanya.

IOC sebelum ini mengesahkan bahawa semua atlet yang sudah layak dan kuota tempat yang telah disediakan bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah kekal tidak berubah. – Bernama