Home Nasional Ranhill SAJ tambah kandungan klorin

Ranhill SAJ tambah kandungan klorin

KUALA LUMPUR – Ranhill SAJ menaikkan kandungan baki klorin di dalam air terawatnya sejajar dengan garis panduan sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan perbincangan bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Memetik laporan WHO yang bertajuk “Water, sanitation, hygiene, and waste management for the COVID-19”, ia menyatakan tiada bukti virus ini hidup di dalam air minuman atau kumbahan.

Namun begitu, garis panduan ini dikeluarkan sebagai langkah membantu mencegah penyebaran virus melalui amalan air, sanitasi dan kebersihan yang betul.

Ketua Pegawai Eksekutif Sr. Nor Ifuan Md Nor memaklumkan kandungan baki klorin ≥0.5 mg/L diperlukan bagi memastikan disinfeksi yang berkesan dalam memastikan air yang dibekalkan adalah selamat digunakan dan membantu mencegah penyebaran virus Covid-19.

“Kesihatan dan keselamatan orang awam khususnya dalam masa mencabar ini kekal sebagai keutamaan kami. Kami mengikut cadangan yang dibuat oleh WHO dengan menggandakan nilai kawalan minima baki klorin yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam rawatan air kami.

“Semua Loji Rawatan Air (LRA) kami mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dengan penambahan dos klorin kepada nilai kawalan minima yang digariskan,” kata Nor Ifuan.

Pada masa yang sama, syarikat membuat pemantauan rapi ke atas loji rawatan air untuk memastikan ia beroperasi seperti biasa, dan untuk membetul atau membaiki sebarang kebocoran paip yang tidak dijangka atau tidak dapat dielakkan.

Beliau menambah, Ranhill SAJ menetapkan langkah kesinambungan perniagaan dan operasi untuk memastikan bahawa perkhidmatan tidak terganggu dan operasi penting diteruskan sepanjang tempoh ini.

Katanya, sejak 15 Mac lalu, syarikat itu sudah pun mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan dalam situasi Covid-19 ini yang menggariskan langkah-langkah pencegahan dan operasi kawalan terhadap anggotanya dan anggota kontraktor yang terus harus bekerja bagi penerusan bekalan air di negeri ini. – MalaysiaGazette