Home Nasional Lori Gardenia ‘hilang’ di KL jumpa di Terengganu

Lori Gardenia ‘hilang’ di KL jumpa di Terengganu

KUALA LUMPUR – Sebuah lori membawa roti Gardenia yang dirompak dan dilarikan orang semalam ketika dalam perjalanan membuat penghantaran di Kuala Lumpur ditemui di Terengganu.

Pihak Pengurusan Gardenia Bakeries KL (GBKL) berkata, kenderaan bernombor pendaftaran BKK 3140 itu kemudiannya berjaya dijumpai pihak berkuasa di Kijal, Kuala Terengganu pada lewat petang semalam.

Mengambilkira aspek keselamatan pada ketika penularan wabak Covid-19 masa kini, syarikat pengeluar roti akan melupuskan semua produk di dalam lori itu.

Kenderaan itu juga akan dinyahkuman, tambah GBKL dalam satu kenyataan hari ini.

“Lori tersebut dan produk di dalamnya berada di balai polis bagi menjalankan siasatan. Bagi memastikan keselamatan para pengguna kami, GBKL telah melaksanakan polisi dan prosedur untuk menangani keadaan tersebut pada ketika ini.

“Antaranya semua produk Gardenia yang dibawa oleh lori tersebut akan dilupuskan dan kenderaan tersebut akan dinyahkumankan,” kata GBKL menerusi kenyataan yang sama.

GBKL turut memaklumkan jurujual yang membawa lori tersebut sebelum dilarikan dalam keadaan selamat dan tidak diapa-apakan oleh pencuri.

Gardenia dalam pada itu menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan insiden tersebut untuk menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan atau email kepada [email protected].

Sebelum itu, sepanjang arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana wabak Covid-19, roti Gardenia menjadi barangan makanan ‘panas di pasaran’ sehingga sering kehabisan stok di seluruh negara.- MalaysiaGazette