KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan telah menerima surat tawaran daripada pengurusan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mendapatkan khidmat penyerang importnya Mohammed Ghaddar pada pintu perpindahan pemain yang mula dibuka hari ini.
Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor berkata, susulan itu, pihaknya telah melantik Naib Presiden, Datuk Nasir Hamzah; Bendahari persatuan itu, Nik Aminalddin Nik Jaafar serta beberapa exconya untuk menguruskan tawaran tersebut.
“Sudah tentu memberi tekanan kepada kami memandangkan tawaran tersebut sangat tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan JDT amat berminat mendapatkan khidmat pemain import dari Lubnan itu yang kini adalah penjaring terbanyak dalam saingan Liga Super dengan 18 gol.
“Bagaimanapun, kalau ini menjadi realiti maka biarlah Kelantan juga mendapat faedah.
“Saya berharap jawatankuasa kita dapat menggunakan kebijaksanaan mereka supaya setiap rahmat melimpah menjadi milik kita,” katanya. – MalaysiaGazette