Home Ekonomi Sime Darby rayu Sabah tarik balik penutupan operasi sawit

Sime Darby rayu Sabah tarik balik penutupan operasi sawit

sawit
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sime Darby Plantation Berhad (SDP) berharap Kerajaan Negeri Sabah memberi pertimbangan sewajarnya terhadap kebimbangan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan Persatuan Pemilik Estet Malaysia (MEOA) berhubung penutupan operasi ladang dan kilang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

SDP yang turut melahirkan kebimbangan terhadap keputusan Sabah itu berkata, penutupan tersebut akan menghentikan operasi minyak sawit di enam daerah yang mewakili 75% pengeluaran negeri tersebut.

Dalam kenyataannya di sini, SDP berkata, pihaknya memahami bahawa tindakan kawalan penularan pandemik Covid-19 menjadi keutamaan Sabah.

Tetapi pada masa sama, SDP percaya inisiatif yang dilakukan memerlukan keseimbangan dengan mengambil kira tidak menjejaskan industri tersebut yang mendapat pengiktirafan Majlis Keselamatan Negara.

“Kami menaruh harapan Kerajaan Negeri Sabah akan mengambil perhatian kebimbangan MPOA dan mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut firma perladangan itu, rayuan tersebut adalah dengan langkah Majlis Keselamatan Negara yang membenarkan syarikat-syarikat minyak sawit mengendalikan sebahagian daripada operasi dengan syarat mematuhi syarat dan garis panduan operasi ditentukan oleh majlis itu.

SDP berkata, pihak akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan membuat pelarasan terhadap operasi di estet dan kilang untuk mematuhi syarat dan garis panduan ini.

”Kami percaya perkara sama turut dilaksanakan oleh syarikat-syarikat minyak sawit lain untuk memastikan bahawa operasi mereka terus produktif dalam tempoh yang sukar ini, sambil memastikan risiko kepada keselamatan dan kesihatan semua pekerja dapat dikurangkan dengan berkesan,” tambah SDP. – MalaysiaGazette

MPOA, MEOA bimbang industri terjejas