Home Dunia Kakitangan hospital protes tuntut bayar gaji

Kakitangan hospital protes tuntut bayar gaji

Sebahagian daripada kakitangan perubatan yang terlibat dalam protes terhadap kerajaan di Bogota. foto Agensi

BOGOTA – Para paramedik, doktor dan jururawat melakukan protes di jalan-jalan di ibu kota Colombia, dekat sini dengan sokongan siren ambulans selepas kerajaan melewatkan pembayaran gaji.

Situasi itu berlaku di tengah-tengah kegawatan penularan wabak Covid-19 di negara berkenaan.

Para pekerja kesihatan, yang dikawal oleh polis melakukan protes berhenti di hadapan sebuah klinik di utara bandar sambil memberi tepukan kepada rakan-rakan mereka yang bekerja di dalamnya.

Lebih daripada 1,000 kes Covid-19 disahkan di negara Andes ini dengan 17 orang telah meninggal dunia.

Kerajaan telah mengumumkan lebih daripada AS$ 1.47 bilion pembiayaan untuk membantu kemudahan menangani koronavirus, tetapi para pekerja barisan hadapan ini mendakwa bantuan itu masih belum diterima pekerja.

“Kami menggesa kerajaan membantu kami dengan membayar gaji,” kata seorang jururawat Andres Merchan.

Sementara itu, seorang pemandu ambulans Carlos Camargo yang komited untuk memerangi virus itu berkata, beliau kecewa kerana masih ramai rakyat negara ini tidak mematuhi arahan sekatan keluar rumah selama 19 hari yang bermula minggu lalu.

“Saya sangat berbesar hati berada di barisan hadapan tetapi sukar untuk melakukan bersendirian, masyarakat tidak berkolaborasi. Mereka masih berjalan di jalan-jalan raya tanpa menggunakan alat perlindungan,” katanya.

Colombo telah menetapkan kuarantin sehingga 13 April, walaupun kerajaan tidak menolak kemungkinan akan melanjutkannya.

Orang ramai diwajibkan berada di dalam rumah kecuali untuk bekerja di perkhidmatan penting, membeli makanan dan ubat dan menghadiri temujanji perubatan, termasuk pengecualian lain. – MalaysiaGazette