KUALA LUMPUR – Kebimbangan masyarakat tentang nasib golongan gelandangan, khususnya di sekitar KL, akhirnya terjawab selepas lebih 600 orang golongan itu kini ditempatkan di penempatan sementara sehingga berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pusat penempatan sementara itu membabitkan pusat transit, anjung singah dan beberapa pusat komuniti dewan serba guna.
Walaupun rakyat Malaysia terpaksa berkurung dalam rumah sepanjang PKP, golongan gelandangan berhadapan risiko wabak Covid-19 kerana mereka masih bebas sebelum ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, melalui beberapa operasi, pihaknya berjaya mencari dan memindahkan golongan itu ke tempat yang lebih selamat dan bersih.
Menurut beliau, sekurang-kurangnya mereka tidak lagi merayau tidak tentu hala dan tidur di tepi jalan.
“Makan mereka juga kita jaga, kita juga kasihan. melihat mereka, ada kalanya mereka makan apa sahaja, ada kalanya mereka tiada wang untuk makan, jika yang ada duit pula mungkin kedai-kedai pula tutup. Ada juga bantuan diberikan tetapi hanya kelompok tertentu dapat.
“Kita pastikan semua ini teratur, kita juga tidak akan benarkan mana-mana gelandangan ini keluar merayau sepanjang tempoh PKP ini tamat. Kita akan selamatkan lagi jika ada saki baki lagi di luar sana.
“Usah risau, kita faham dengan kebimbangan umum, kita bertungkus lumus memastikan semua yang dianggap berisiko dalam penularan wabak ini tidak berada di luar sana secara terbuka,” katanya laman sosial Facebook yang disiarkan secara langsung dari Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.
Annuar berkata, kerajaan juga akan menjalankan saringan kesihatan bagi memastikan mereka bebas daripada Covid-19 dan sehingga kini belum ada laporan menyatakan golongan dijangkiti virus tersebut.
Masih ada gelandangan berkeliaran, pekerja seks terus ‘berniaga’
Semalam Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan memberitahu, penempatan sementara gelandangan dilaksana dengan tiga kategori iaitu golongan sihat warganegara, gelandangan bermasalah sakit berjangkit, mental dan penagihan dadah serta warga asing.
“Warganegara sihat ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana dan Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir masing-masing 181 dan 62 orang, Pusat Komuniti Setiawangsa dengan 95 gelandangan bermasalah serta Dewan Serbaguna Alam Damai Cheras menempatkan 30 gelandangan yang berasal dari 10 negara.
“Selain itu, kira-kira 99 gelandangan lelaki ditempatkan di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang manakala 43 gelandangan lelaki dan wanita termasuk tiga kanak-kanak berumur tiga, empat dan lima tahun. Kedua-dua pusat ini dikendalikan oleh Yayasan Kebajikan Negara,” kata Nor Hisham.
Kos keseluruhan operasi itu dianggarkan antara RM1.5 juta hingga RM2 juta dan ia meliputi, bangunan, utilii dan peralatan kemudahan asas termasuk tilam. –MalaysiaGazette