Home Nasional Pusat rawatan, kuarantin MAEPS inisiatif Muhyiddin perangi Covid-19

Pusat rawatan, kuarantin MAEPS inisiatif Muhyiddin perangi Covid-19

KUALA LUMPUR – Siapa sangka Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 di Dewan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang dekat sini disiapkan dalam tempoh tiga hari sahaja.

Pusat kuarantin itu juga sebenarnya hasil daripada idea Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang begitu komited dalam memerangi pandemik itu di negara ini.

Ia dibina hasil kerjasama oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan agensi kerajaan lain yang terlibat.

Ruang untuk para pesakit yang telah disediakan ketika Lawatan Khas Media ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS, Selangor. foto AQIRA AZEMI

Jika dilihat suasana dewan besar di MAEPS itu, ia bukan sahaja nampak seperti ‘hospital sebenar’ malah dilengkapi dengan peralatan canggih serta menepati kemahuan menangani wabak pandemik yang semakin menular itu.

Pihak media berkesempatan meninjau penempatan kuarantin itu selain daripada diberikan taklimat bagaimana pusat itu akan beroperasi menangani pesakit Covid-19 berisiko rendah.

Melalui tinjauan yang sama hari ini, MalaysiaGazette dapat melihat segala macam keperluan mengikut garis panduan tangani Covid-19 seperti katil, meja, kerusi, bilik persalinan pesakit, tandas dengan butang kecemasan, bilik mandi, ruang istirehat, wifi, televisyen telah disediakan untuk keselesaan lebih.

Ada juga perkhidmatan lain disediakan di dalamnya termasuk perkhidmatan diet, bilik sajian, sesi kaunseling, perkhidmatan kesihatan dan keselamatan pekerjaan, farmasi, lengkap dengan pusat x-Ray, makmal patalogi, perkhidmatan sisa am serta klinikal dan juga rekod pesakit serta penyelengaraan kemudahan.

Semuanya seperti satu pakej hospital lengkap, efisien serta canggih.

Menurut Dr. Siti Sarah yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perancangan KKM, pusat kuarantin itu telah dibangunkan sebagai salah satu persiapan kerajaan seandainya kes-kes Covid-19 terus meningkat.

“Pusat ini juga akan dapat menampung seramai 604 pesakit yang akan di tempatkan di Dewan A iaitu 400 orang manakala Dewan C pula seramai 204.

“Sebenarnya pusat kuarantin dan rawatan ini dibina khas kepada golongan pesakit Covid-19 yang stabil, tidak bergejala atau sekadar mempunyai simptom ringan sahaja,” katanya ketika membawa sekumpulan media meninjau pusat tersebut hari ini.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Adham Baba yang sempat menyertai taklimat selepas itu berkata, para pesakit dari luar seperti Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Perak juga akan ditempatkan di situ seandainya ada keperluan.

“Kita boleh pindahkan pesakit-pesakit itu ke pusat ini bagi meneruskan rawatan dan pemerhatian sehingga mereka sembuh sepenuhnya.

“Ini juga merupakan satu alternatif kepada pesakit Covid-19 yang benar-benar memerlukan tempat serta perhatian khas untuk mendapat rawatan di hospital-hospital Covid-19.

“Pusat ini juga lengkap dengan kemudahan anggota bertugas bagi memastikan kumpulan barisan hadapan juga terlindung keselamatan mereka terjamin selain selesa.

 

“Antaranya termasuknya ruang bekerja khas yang telah diasingkan dari ruang klinikal pesakit, bilik persalinan, bilik mandi, ruang rehat serta bilik persalinan khas bagi pemakaian PPE atau Personal Protective Equipment,” katanya kepada pemberita sebentar tadi. –MalaysiaGazette