KUALA LUMPUR – Industri insurans diminta memberi pertimbangan pembayaran balik kepada individu-individu yang melakukan saringan Covid-19, khususnya kepada pesakit yang perlu menerima rawatan dan prosedur di wad.
Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berkata, pada masa ini syarikat-syarikat insurans tidak mahu membayar semula ujian saringan Covid-19 yang dibuat oleh pesakit.
Presidennya, Datuk Kuljit Singh berkata, keengganan industri insurans berbuat demikian membimbangkan hospital dan para doktor.
“Ia berpotensi memberi risiko kepada pesakit dan kakitangan penjagaan kesihatan.
“Kemasukan pesakit yang tidak ada kaitan dengan Covid-19 akan menerima komplikasi jika ujian saringan tidak dilakukan, selain memberi pendedahan kepada kakitangan di hospital.
“Ini akan memburukkan keadaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Oleh sebab itu, katanya, industri insurans diminta melonggarkan norma-norma dalam terma ujian saringan Covid-19.
”Hospital dan para doktor sedang bergelut dengan pandemik dan kami merayu industri insurans secara serius melindungi pelanggan-pelanggan dan kakitangan hospital,” ujarnya.
Pada masa ini ujian saringan Covid-19 antara RM300 hingga RM600.
”Jumlah yang perlu dibayar adalah kecil tetapi hasilnya adalah signifikan,” kata Dr Kuljit. – MalaysiaGazette