Home Ekonomi Pemulihan ekonomi bergantung kerjasama rakyat – Tengku Zafrul

Pemulihan ekonomi bergantung kerjasama rakyat – Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Pemulihan ekonomi Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19 bergantung kepada berapa cepat negara dapat mengatasi ancaman Covid-19.

Lantaran itu, rakyat Malaysia mesti memainkan peranan masing-masing dan bersatu dalam membendung wabak ini, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata demikian ketika mengulas unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini yang mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun ini adalah antara -2.0 hingga +0.5%.

Namun, menurut beliau, prospek pertumbuhan mencabar itu bukan di luar jangkaan memandangkan ekonomi global juga mengalami kelembapan disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Tengku Zafrul berkata, unjuran tinjauan semasa menunjukkan ekonomi negara akan melantun semula pada tahun depan dengan beberapa pemulihan pada akhir tahun ini.

Pemulihan itu dipacu oleh Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat Prihatin (Prihatin) berjumlah RM250 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi penekanan melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi.

Inisiatif ini bakal menyumbang kira-kira 2.8% kepada KDNK tahun ini.

Malah, tambah beliau, kerajaan akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi untuk perusahaan kecil dan sederhana serta perniagaan mikro.

”Namun, risiko penurunan masih kekal memandangkan situasi Covid-19 yang tidak pernah dijangka sebelum ini dan kita perlu bersedia dengan perkara-perkara yang tidak terjangka.

”Walau bagaimanapun, kita masih mempunyai ruang kapasiti dan fiskal untuk memenuhi ketidakpastian masa depan dan kerajaan sedar untuk tangkas dan bertindak pantas,” katanya.

Tambah beliau, untuk berdepan dalam masa-masa yang mencabar ini, BNM akan memastikan sistem kewangan kekal stabil dengan kecairan yang mendalam dan penampan yang kukuh.

Sistem kewangan negara hari ini mempunyai penampan modal sebanyak RM121 bilion berbanding hanya RM39 bilion semasa krisis kewangan global pada 2008.

Manakala di pasaran modal, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia akan terus memastikan pasaran kekal terbuka, telus dan teratur. – MalaysiaGazette