Home Utama Bapa kayuh basikal kejar kereta bantuan terima sumbangan JKM

Bapa kayuh basikal kejar kereta bantuan terima sumbangan JKM

KUALA LUMPUR – Tindakan nekad seorang ketua keluarga mengayuh basikal beberapa kilometer untuk mengejar sebuah kenderaan yang sedang membawa bantuan makanan telah menerima bantuan segera Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pusat Keluarga Bergerak (PKB) Sandakan memaklumkan, JKM telah menyalurkan bantuan segera sebanyak RM300 kepada Mohd Affandi Hashim, 28 dan keluarganya.

“Beliau bukan penerima bantuan kebajikan bulanan namun merupakan penerima Bantuan Sarah Hidup (BSH) erdaftar melalui akaun isteri dan layak menerima Bantuan Prihatin Nasional yang akan mula diproses minggu hadapan.

“Berdasarkan temubual yang dijalankan, beliau dan keluarga adalah kumpulan B40 yang terkesan secara langsung oleh Perintah Kawalan Pergerakan.

“JKM berikan bantuan segera RM300 bagi tempoh PKP ini dan bantuan bakul makanan,” tambah PKB Sandakan.

Kisah sedih bapa kepada dua orang anak itu dilaporkan portal Borneo Today, Jumaat lalu.

Mohd Affandi sanggup mengayuh basikal beberapa kilometer mengejar sebuah kenderaan yang sedang mengangkut bantuan makanan untuk merayu agar turut diberikan bantuan.

Tindakan Affandi, dari Kampung Bakau itu demi memastikan isteri dan dua anaknya termasuk yang baru dilahirkan melalui pembedahan dapat menjamah makanan setelah terputus bekalan.

Selain isteri dan dua anaknya, Affandi turut menyara ibu mentua dan anak saudara isterinya.

Sejak PKP dilaksanakan, Affandi yang bekerja di sebuah kilang bebola ikan hilang punca pendapatan setelah tempat kerjanya menutup sementara operasi.

Dalam tempoh PKP, pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) turut menghulurkan bantuan kepada beliau, antaranya aktivitis masyarakat Abam Botak. – MalaysiaGazette