Home Ekonomi Sime Darby jual perniagaan edar kenderaan di Australia, NZ

Sime Darby jual perniagaan edar kenderaan di Australia, NZ

KUALA LUMPUR – Sime Darby Bhd. (Sime Darby) menjual perniagaan pengedaran kenderaan di Australia dan New Zealand.

Syarikat-syarikat tersebut mengimport serta mengedarkan jenama seperti Peugeot, Citroen dan DS bagi pasaran Australia dan New Zealand.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Sime Darby berkata, anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Sime Darby Motors hari ini telah memeterai perjanjian penjualan aset dengan beberapa pihak bagi tujuan melupuskan perniagaan berkaitan Peugeot dan Citroen di Australia dan New Zealand.

Jelasnya, Inchcape Australia telah membeli perniagaan di Australia manakala Rick Armstrong Motor Group pula mengambil perniagaan mereka di New Zealand.

Tambahnya, syarikat-syarikat tersebut akan mengambil alih pengedaran kenderaan jenama PSA bagi edaran Australasian.

Pengarah Urusan Sime Darby Motors bagi Australia dan New Zealand, Patrick McKenna berkata, selepas pertimbangan teliti, satu keputusan telah diambil untuk melupuskan perniagaan pengedaran kenderaan di pasaran Australasia.

“Ini adalah sejajar dengan strategi Sime Darby Motors yang mahu memberi fokus kepada jualan runcit kereta dan trak komersial.

“Selepas keputusan dibuat, KPMG telah dilantik untuk mengendalikan kesemua proses tender jualan bagi pihak kami,” katanya.

Tambah McKenna, keutamaan syarikat adalah untuk memastikan kebanyakan pekerja di kedua-dua negara ditawarkan pekerjaan di bawah terma dan syarat sedia ada. – MalaysiaGazette