Home Nasional Bukan semua penyewa kuarters PPj layak diberi pengecualian

Bukan semua penyewa kuarters PPj layak diberi pengecualian

Suasana lengang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pangsapuri Perbadanan Putrajaya Blok F&G, Presint 11, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 05 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Perbadanan Putrajaya (PPj) memaklumkan penyewa-penyewa kediamannya di Blok F dan G Putra Damai miliknya terdiri daripada pelbagai kategori penyewa termasuk kelompok T20.

Berikutan itu, bantuan pengecualian sewa premis adalah tidaklah wajar diberi sama rata kepada penyewa-penyewa.

Bagaimanapun, jelasnya, seramai 11 penyewa Blok F dan G Putra Damai itu merupakan penerima bantuan Baitulmal, selain penyewa dari kumpulan B40 (163), kumpulan mudah miskin (12) dan pendapatan garis kemiskinan (5 penyewa) berkelayakan mendapat bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan di sini, PPj menjelaskan, ia memiliki dua blok iaitu Blok F dan G yang mempunyai 420 unit pangsapuri yang dijadikan kuarters kakitangannya.

Kuarters PPj ini berlainan sama sekali daripada kategori Perumahan Kos Rendah atau PPR yang telah diumumkan
bantuan.

Menurutnya, buat masa ini keperluan kuarters bagi kakitangan PPj adalah sebanyak 30% sahaja dan selebihnya sebanyak 295 unit disewakan kepada orang awam termasuk sektor kerajaan (94 unit), swasta (163 unit termasuk kakitangan anak syarikat PPj) , bekerja sendiri (18 unit) dan pesara/tidak bekerja (20 unit).

Bagi unit yang disewakan, keutamaan diberi kepada kakitangan kerajaan berkeluarga yang bertugas di Putrajaya dan sedang menunggu tawaran kuarters penjawat awam di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, PPj dan pihak-pihak bertanggungjawab lain telah memberi dan sedang menyalurkan bantuan berbentuk sumbangan pek makanan dan bantuan-bantuan di bawah Bantuan Prihatin Nasional dan Inisiatif Wilayah Cakna yang
meliputi kategori mangsa Covid-19, Asnaf, B40, Miskin Bandar, peniaga dan penjaja.

Sehubungan dengan itu, sekiranya terdapat mereka di Putrajaya dalam kategori tersebut tercicir dari penyaluran bantuan, boleh berhubung dengan PPj di talian 03-88877999 atau layari www.ppj.gov.my. – MalaysiaGazette

Kami terpaksa ikat perut jika PPj arah bayar sewa