Home Ekonomi Pelupusan ekuiti oleh pelabur asing berkurangan minggu lalu

Pelupusan ekuiti oleh pelabur asing berkurangan minggu lalu

KUALA LUMPUR – Jualan ekuiti tempatan oleh pelabur-pelabur asing di Bursa Malaysia berkurangan minggu lepas kepada RM486 juta berbanding RM631.9 pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research).

MIDF Research berkata. berbanding dengan enam pasaran Asia lain, Malaysia kekal sebagai negara dengan aliran keluar bersih ketiga terkecil setakat ini.

Sehingga kini, jumlah aliran keluar pelabur asing dari Malaysia adalah RM8.12 bilion.

Firma penyelidikan itu berkata, hari Isnin mencatatkan aliran keluar bersih asing sebanyak RM108.5 juta sejajar dengan kejatuhan 1.1% FBMKLCI dan turunnya harga minyak mentah Brent kepada paras terendah dalam tempoh 18 tahun/

Bagaimanapun, jumlah jualan meningkat pada hari Selasa kepada RM113.4 juta.

”Bursa tempatan naik sebanyak 1.7% untuk ditutup kepada 1,350.9 mata, kedudukan tertinggi lebih daripada dua minggu dipacu oleh peluasan aktiviti pengilangan China pada bulan Mac,” katanya.

Namun, aliran masuk asing tidak bertahan lama selepas melupuskan sejumlah RM253.4 juta pada hari Rabu, aliran keluar tertinggi pada minggu lalu, disebabkan oleh kejatuhan aktiviti pengilangan di Asia termasuk Malaysia pada bulan lalu.

Momentum jualan bersih asing berkurangan kepada RM96.8 juta pada Khamis ekoran jangkaan Presiden Donald Trump bahawa Arab Saudi dan Rusia akan mengumumkan perjanjian pengurangan pengeluaran minyak.

“Harga minyak mentah Brent melonjak sebanyak 28.0% pada hari Khamis kepada AS$ 29.9 setong, keuntungan harian terbesar dalam sejarah,” katanya.

Tetapi, pada hari Jumaat menyaksikan aliran keluar bersih asing sebanyak RM140.7 juta selepas FTSE Russell mengekalkan Malaysia pada senarai pantauan untuk pengecualian indeks bon.

Sementara itu, MIDF Research berkata, eksport Malaysia meningkat hampir 12.0% pada bulan Februari 2020, paling kukuh dalam tempoh 16 bulan.

Menurut firma penyelidikan itu, dari segi penyertaan, nilai dagangan harian purata (ADTV) bagi pelabur asing meningkat paling tinggi sebanyak 5.5% kepada RM1.27 bilion dan masih berada di tahap baik. – MalaysiaGazette