KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa meramalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin dilanjutkan selepas 14 April ini.
Menerusi ciapan di Twitter sebentar tadi, Ahli Parlimen Keterah itu berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) telah memberi bayangan bahawa rakyat perlu bersedia berkorban lebih lama dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.
“KKM sudah memberi bayangan kita perlu bersedia “berkorban” lebih lama dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19. Kita percaya SOP & panduan terperinci akan segera dikeluarkan. Sementara itu kita akan pastikan pelaksanaan PKP yang lebih tegas di WP bagi melindungi warga wilayah,” ciapnya.
Kerajaan mula melaksanakan PKP sejak 18 Mac lalu yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac lalu sebelum dilanjutkan hingga 14 April ini.
Sementera itu, Kementerian Kesihatan Malaysia akan menyediakan data pada 10 April bagi membantu kerajaan membuat keputusan sama ada PKP perlu dilanjutkan atau tidak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan akan dibuat berdasarkan sama ada jumlah kes baru Covid-19 setiap hari mencatatkan penurunan atau sebaliknya. – MalaysiaGazette