KUALA LUMPUR – Kejadian jenayah di negara ini didapati menurun secara mendadak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Berita gembira bagi rakyat Malaysia, kita dapat laporan dari polis bahawa indeks jenayah yang berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh PKP telah menunjukkan penurunan sebanyak 70 peratus,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Mengenai pesalah ingkar arahan PKP, sehingga semalam, seramai 403 individu ditahan di sekatan jalan raya kerana melanggar PKP dan angka itu menurun berbanding 554 tangkapan pada 5 April lalu.
Katanya, dari jumlah tangkapan itu, seramai 347 individu telah direman dan 56 dijamin.
Manakala operasi sanitasi awam pula, sejak 30 Mac lalu, Kementerian Perumahan dan kerajaan Tempatan (KPKT) telah menjalankan sebanyak 666 operasi nyah cemar di 79 zon termasuk 18 zon merah.
“Setakat semalam, semua zon merah telah dinyah cemar dengan 102 operasi sanitasi meliputi 48 zon di 13 negeri termasuk 32 di Johor dan 14 kawasan di Kuala Lumpur.
“Kawasan yang turut dinyah cemar ialah 514 bangunan kerajaan, 12 Projek Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 16,476 unit rumah, dan keseluruhan PPR yang dinyah cemar adalah 17 PPR melibatkan 24,077 unit rumah,” ujarnya. – MalaysiaGazette