KOTA BHARU – Sultan Kelantan Sultan Muhammad V hari ini berkenan mengembalikan Emolumen Diraja selama enam bulan bermula April hingga September kepada Perbendaharaan Negeri Kelantan dalam usaha membantu rakyat yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, baginda turut berharap Emolumen Diraja yang dikembalikan itu akan dapat diuruskan sewajarnya oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan perintah itu.
Nik Mohd Shafriman berkata, Sultan Muhammad V turut mengingatkan seluruh rakyat supaya bekerjasama membantu barisan depan dengan mematuhi PKP kerana ia adalah penting untuk melandaikan puncak jangkitan dengan melindungi golongan yang mudah terdedah dan mengelakkan lebih ramai keluarga kehilangan orang yang disayangi.
“Sultan Muhammad V turut bertitah, walaupun PKP ini mungkin sukar bagi ramai orang, tetapi ia adalah langkah yang perlu diambil. Baginda berharap rakyat dapat terus bersabar dan memandang PKP dari sudut positif dengan mereka boleh meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga, bermuhasabah dan beribadat.
“Baginda berpesan agar rakyat sentiasa bertimbang rasa dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Nik Mohd Shafriman berkata, baginda sekali lagi merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh petugas Kementerian Kesihatan dan semua yang terlibat dalam sektor perkhidmatan kritikal yang tidak mengenal penat lelah dan berkorban untuk kesejahteraan rakyat Malaysia. – BERNAMA