KUALA KANGSAR – Khasiat madu kelulut serta pengambilannya sebagai makanan kesihatan tambahan sememangnya tidak disangkal lagi.
Kandungan antioksidan dan manfaat vitamin C yang terdapat pada madu kelulut juga baik untuk mengatasi flu dan demam kerana fungsi vitamin tersebut sebgai pengoptimal sistem imun pada tubuh.
Ini kerana ia sebagai sumber vitamin C semulajadi bagi meningkatkan ketahanan tubuh badan termasuklah dalam mencegah wabak Covid-19.
Pengusaha madu kelulut, Dailami Zahari, 40, kelebihan madu kelulut yang mengandungi khasiat tiga kali ganda berbanding madu biasa lebih berkesan walaupun sifatnya kurang pekat.
Menurut beliau, sistem imun seseorang sebenarnya bergantung bagaimana individu tersebut menjaga kesihatannya, justeru salah satu cara untuk mengoptimumkan kekebalan tubuh adalah dengan mengambil makanan yang merupakan sumber antioksidan dan vitamin penting.
“Hanya 30 minit selepas diambil madu ini akan berada pada darah dalam tubuh kita. Ia pantas diserap oleh badan.
“Pengambilan madu kelulut setiap hari menjadikan seseorang tidak mudah letih kerana kandungan antioksidan lebih tinggi berbanding madu lebah biasa, sekali gus membantu mencegah sesuatu penyakit,” katanya yang mengusahakan ternakan lebah kelulut sejak kira-kira tiga tahun lalu di Kampung Rambai Tujuh dekat sini.
Beliau yang juga anak kelahiran kampung tersebut kini memiliki 400 sarang kelulut yang diternak di kawasan seluas 15 ekar yang terletak di dalam kebun getah dan dusun buah-buahan.
Antara kelulut yang mampu menghasilkan madu berkualiti adalah daripada spesies troracica, itama, apicalis dan terminata yang menjadikan kawasan kebun dan dusun di situ sebagai habitat pembiakan koloninya.
Dailami berkata, setiap sarang boleh menghasilkan antara dua hingga tiga kilogram madu asli yang dituai menggunakan sejenis alat penyedut khas tanpa mengusik sarang induknya.
Menerusi syarikat miliknya, Rambai Emas Enterprise memasarkan sebanyak 50 kilogram (kg) madu kelulut 100 peratus asli dan tidak diproses setiap bulan kepada pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan termasuklah pembeli dari Singapura.
Lebih istimewa, beliau juga mengamalkan kaedah hanya menuai madu selepas menerima tempahan daripada pelanggan bagi menjaga kesegaran dan kualiti madu kelulut keluaran syarikatnya.
Selain jualan secara terus, Rambai Emas Enterprise turut bersedia membekalkan madu kelulut secara runcit dan borong kepada pengguna.
Atas kesungguhan mengusahakan ternakan kelulut, Dailami juga ketika ini antara pengusaha madu kelulut yang terbesar di negeri Perak yang bergerak secara bersendirian.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai madu lebah kelulut yang dipasarkan syarikat Rambai Emas Enterprise bolehlah menghubungi talian 019-5923075.- MalaysiaGazette