Home Dunia Korea Utara dikaitkan dengan virus Ransomware

Korea Utara dikaitkan dengan virus Ransomware

WASHINGTON – Korea Utara kini mula dikaitkan dengan serangan serangan siber global WannaCry `Ransomeware’ berdasarkan penemuan sepasukan penyelidik kawalan siber di dua buah syarikat pengeluar perisian terkemuka, Symantec dan Kaspersky Lab.

Menurut kedua-kedua syarikat itu, kumpulan penyelidik menemui beberapa kod versi awal perisian WannaCry dalam program digunakan kumpulan Lazarus yang dikenal pasti sebagai sebuah operasi penggodam Korea Utara.

“Penemuan itu merupakan petunjuk terbaik yang boleh dikaitkan dengan asal usul virus WannaCry setakat ini,” kata seorang penyelidik Kaspersky Lab, Kurt Baumgartner, lapor laman portal TheTelegraph.co.uk.

Bagaimanapun, kedua-dua syarikat itu menjelaskan, masih terlalu awal untuk menuduh Pyongyang terbabit dengan serangan siber tersebut.

Symantec dan Kaspersky Lab memberitahu, mereka akan menjalankan kajian dengan lebih teliti terhadap kod berkenaan.

Sementara itu, beberapa pegawai keselamatan Amerika Syarikat dan Eropah turut berpendapat masih terlalu awal untuk menuduh Korea Utara sebagai dalang di sebalik serangan itu.

Namun begitu, mereka tidak menolak pembabitan negara terbabit dalam hal berkenaan.

Sejak Jumaat lalu, sebanyak 300,000 komputer di 150 negara terjejas akibat serangan siber itu. – MalaysiaGazette