Home Nasional Ingkar PKP: Kerajaan cadang naikkan kadar denda

Ingkar PKP: Kerajaan cadang naikkan kadar denda

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Ekoran masih ramai lagi rakyat negara ini yang ingkar akan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar denda, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Deri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, kadar kompaun yang dikenakan di negara ini terlalu rendah berbanding negar-negara lain dan dengan itu ramai yang masih ingkar akan arahan itu dengan keluar sesuka hati mereka.

“Mungkin kita nak minta Kementerian Kesihatan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara mungkin kalau perlu kita boleh naikkan lagi denda atau kompaun yang boleh dikenakan.

“Hukuman penjara pun boleh diminta dipanjangkan dan ini boleh digunakan untuk memastikan tidak ada lagi ketakutan daripada rakan supaya tidak melakukan keingkaran dalam PKP ini,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat khas Menteri-menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya hari ini.

Daripada pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu sehingga kini, seramai 7,479 tangkapan telah dibuat oleh polis disebabkan ingkar arahan PKP.

Daripada jumlah itu, seramai 666 individu telah ditahan kerana ingkar arahan dan 393 daripada jumlah itu telah di kompaun dengan denda sebanyak RM1,000.

Ismail turut berkata 263 individu telah direman dan 11 telah diikat jamin polis.

Menteri Pertahanan itu turut berkata negara lain mengenakan kadar kompaun yang tinggi kepada mereka yang ingkar berbanding Malaysia yang mengenakan kompaun terendah dengan RM1,000 sahaja.

“Ada kemungkinan jumlah tangkapan yang masih ramai disebabkan jumlah kompaun RM1,000 dianggap terlalu rendah. Di Singapura misalnya, kesalahan (ingkar) pertama dikenakan SGD10,000 (RM30,491), manakala kesalahan kedua adalah SGD20,000 (RM60,982).

“Di Korea Selatan, kesalahan pertama adalah sebanyak RM35,000” katanya lagi. -MalaysiaGazette