Home Utama Sudah jangka wabak Covid-19 menular, HKL bersedia dari awal

Sudah jangka wabak Covid-19 menular, HKL bersedia dari awal

Suasana di wad yang menempatkan pesakit-pesakit Covid-19 menempatkan pesakit dipercayai positif Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 APRIL 2020

KUALA LUMPUR- Hospital Kuala Lumpur (HKL) sudah bersiap-siaga dari awal lagi untuk menerima pertambahan pesakit Covid-19.

Timbalan Pengarah HKL, Dr. Kamaruddin Alias berkata, sejak kes pertama direkodkan di Malaysia pada 23 Januari lalu, hospital itu telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Malah, mereka dari awal-awal lagi sudah menjangkakan wabak ini bukan mudah untuk dibendung.

“Secara umumnya dalam menguruskan wabak covid-19 kita sudah bersedia.

“Kami sudah menjangkakan peningkatan jumlah pesakit dan sebagainya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Menurut Dr Kamaruddin, antara persediaan yang dibuat pihaknya termasuk merancang membuka wad-wad baharu dan menyusun petugas kesihatan apabila diperlukan nanti.

Pihak HK juga, katanya, telah mengenal pasti infrastuktur yang sangt penting seperti wad rawatan rapi (ICU) selain berkordinasi dan bekerjasama dengan hospital-hospital lain seperti Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Tuanku Azizah; hospital tentera, Hospital Tuanku Mizan; dan Institut Jantung Negara (IJN).

“Banyak perkara yang perlu diambil kira termasuk pengurusan pesakit bukan Covid-19 serta situasi-situasi lain seperti pengurusan jenazah, pengurusan aset dan pemerolehan antaranya peralatan seperti PPE,” katanya.

Petugas kesihatan di wad pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 APRIL 2020.

Jelas Dr. Kamaruddin sebagai sebuah hospital yang besar dan menjadi pusat rujukan, HKL perlu sentiasa bersedia dari segi kepakaran dan peralatan yang mencukupi supaya virus ini dapat dibendung segera.

Tambah beliau, perubahan dinamik sentiasa dilakukan setiap hari bagi memastikan ianya sejajar dengan peningkatan pesakit Covid-19.

Wad-wad khusus untuk pesakit Covid-19 juga semakin banyak dibuka malah HKL katanya telah bersedia untuk membuka lebih banyak wad khusus untuk merawat wabak tersebut.

Seorang petugas memakai sut PPE melakukan kerja-kerja merawat pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 APRIL 2020.

Setakat ini, hospital tersebut telah menggunakan beberapa bangunan kosong seperti Wad Bersalin dan Institut Pediatrik bagi menampung keperluan pesakit yang semakin bertambah.

Ketika tinjauan oleh MalaysiaGazette baru-baru ini, sebuah wad pesakit Covid-19 biasanya mempunyai 30 hingga 35 pesakit dengan kira-kira empat jururawat bertugas pada satu-satu masa.

Manakala High Dependancy Ward (HDW) mempunyai kira-kira 12 pesakit dengan empat jururawat bertugas.

HDW adalah wad yang memberi perawatan kepada pesakit-pesakit Covid-19 yang kritikal dan memerlukan lebih tumpuan khusus.- MalaysiaGazette