Home Pendapat Covid-19 pacu dimensi baharu sektor pertanian

Covid-19 pacu dimensi baharu sektor pertanian

Tekun Nasional Sarawak sediakan skim pembiayaan kepada rider penghantar.

PERDANA Menteri baru saja memaklumkan bahawa kita akan memasuki fasa ketiga PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang akan tamat pada 28hb April ini. Ini bermakna kita akan menyambut Ramadhan dalam suasana PKP tanpa adanya Bazar Ramadhan seperti kebiasaannya. Kita telah merasai PKP fasa pertama dan kedua untuk tempoh selama satu bulan. Banyak pengalaman baru dan cara kehidupan kita juga telah banyak berubah. Mahu tidak mahu, kita sebenarnya telah memasuki Kebiasaan Baharu (a new norm) di dalam menghadapi kehidupan dan amalan seharian kita.

Sepanjang tempoh PKP ini juga, kita dapat merasakan betapa bekalan makanan samada makanan segar atau yang telah diproses menjadi amat penting dan mesti segera dimiliki. Sebaik sahaja berita mengenai PKP dihidu umum, bekalan makanan dan keperluan asas telah habis terjual. Pasaraya dan kedai jualan keperluan harian menjadi tempat tumpuan. Pembeli-pembeli beratur panjang bagi mendapatkan barang-barang makanan seperti roti, beras, telor, ayam, daging, sayur-sayuran dan sebagainya. Rak-rak makanan menjadi lengang. Bukan sahaja barangan segar yang habis, makanan di dalam tin, makanan siap diproses serta makanan sejuk beku juga turut habis.

Tetapi kira-kira dua minggu selepas, terdapat berita di beberapa kawasan seperti di Kundasang, Cameron Highland, Kelantan, Sarawak dan beberapa kawasan lain memaklumkan pengusaha-pengusaha tanaman terpaksa membuang hasil tanaman mereka berikutan masalah pengangkutan untuk membawa hasil tanaman mereka ke pasar borong dan seterusnya diedarkan kepada pengguna. Seorang penanam sayur di Kelantan, mengalami kerugian besar kerana terpaksa membuang kira-kira 50 tan pelbagai jenis sayur-sayuran begitu sahaja. Terdapat juga kebun-kebun sayur terpaksa membiarkan tanaman mereka tanpa penjagaan sempurna berikutan ketiadaan pekerja kerana halangan PKP.

Tidak lama selepas berita mengenai pembuangan sayur-sayuran itu, sebuah syarikat jualan atas talian (online) yang terkenal iaitu Lazada telah tampil untuk mengedarkan keluaran pertanian petani-petani di Cameron Highland menerusi pengedaran atas talian. Selang beberapa hari selepas itu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Lembaga Pertubuhan Peladang, FAMA dan lain-lain agensi berkaitan pertanian telah menyesuaikan kebiasaan lama di dalam memasarkan hasil-hasil tanaman pengusaha pertanian kepada cara yang dulunya tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Agensi-agensi tersebut telah mengaktifkan jualan secara atas talian mereka dan pembeli boleh mendapatkan hasil belian mereka samada dihantar ke rumah atau mengambil sendiri melalui konsep pandu lalu. Hasil dari inisiatif ini, jualan mereka telah meningkat lebih sekali ganda berbanding jualan dan pengedaran secara biasa. Pengguna pula mendapat produk segar dengan harga yang berpatutan dan tanpa perlu beratur di pasar raya.

Di taman-taman perumahan, masjid, surau, koperasi dan pengusaha-pengusaha individu juga mengambil inisiatif baru untuk memasarkan hasil tanaman mereka atau kenalan mereka dengan membuat jualan melalui atas talian dengan menghantar sendiri ke rumah-rumah pelanggan ataupun menggunakan rider. Peniaga peniaga kecil yang dulunya berniaga dipasar tani atau pasar malam menukar strategi jualan mereka dengan membuat jualan secara atas talian dan mengedarkannya secara pandu lalu atau hantaran ke rumah.

Dil uar negara pula, berikutan kebimbangan penularan covid-19 dan keadaan cuaca yang mengancam tanaman pertanian mereka, beberapa negara telah menyekat eksport makanan mereka terutama makanan ruji dari terus mengalir keluar negara. Sebagai contoh, negara Vietnam telah menyekat beras dari dieksport ke mana-mana negara. Negara India pula menyekat bawang dari di eksport keluar. Sementara itu negara pembeli pula mengenakan pemeriksaan yang ketat bagi kemasukan produk-produk makanan kedalam negara mereka kerana bimbang penularan virus covid-19.

Melihat dari apa yang sedang berlaku ke atas industri pertanian dan pemakanan semasa, adalah dijangkakan pertanian pasca Covid-19 negara akan mengalami kebiasaan baru seperti berikut:

i. Negara tidak akan dapat lagi bergantung kepada import makanan bagi keperluan penduduk. Pengeluaran makanan harus diperolehi dari dalam negara. Peluang untuk negara mengimport bahan makanan akan menjadi semakin sukar dan Cuma boleh diperolehi apabila berlaku lambakan pengeluaran di negara pengguna.

ii. Perniagaan secara atas talian dan hantaran terus ke rumah serta konsep pandu lalu akan menjadi kebiasaan biasa. Kebiasaan ini akan memberi kesan besar kepada pasar-pasar tradisional. Besar kemungkinan pasar-pasar tradisional atau pasar malam terutamanya di bandar-bandar besar atau kawasan-kawasan perumahan akan pupus.

iii. Pertanian yang berkonsepkan pertanian moden (modern farming) dan tanaman organic akan menggantikan tanaman secara tradisional. Urban farming juga akan lebih meluas diusahakan di kawasan perumahan, bandar ataupun kawasan yang berhampiran dengan pengguna. Penggunaan teknologi 5G akan menguasai aktiviti pertanian seperti menabur baja, menyiram air, meracun dan sebagainya akan dikawal menerusi hand phone atau monitor dari rumah sahaja.

iv. Tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah akan menghadapi saingan harga yang sengit. Ini berikutan adanya sekatan dari negara pengguna dan saingan dari pengeluar minyak kacang soya, minyak jagung dan sebagainya. Industri ini juga akan menghadapi kesukaran untuk membawa masuk tenaga kerja dari luar. Harga petrol yang rendah juga akan turut memberi kesan negatif ke atas kedua-dua komoditi ini. Ini akan menjadikan pengusaha tanaman sawit dan getah sekarang menukar tanaman mereka kepada tanaman lain seperti durian, nanas, kelapa dan sebagainya.

Berkemungkinan besar tanaman sawit dan getah hanya akan ditanam oleh syarikat-syarikat korporat besar. Syarikat korporat ini akan mempertingkatkan aktiviti memproses produk mereka kepada barangan kepenggunaan atau jika mereka tidak berbuat demikian, maka mereka perlu mencari tanaman baru yang sesuai atau keluar dari industri ini.

v. Tanaman makanan terutamanya padi akan mendapat bantuan dan subsidi dari kerajaan bagi mempastikan bekalan makanan ruji negara terjamin. Tanaman padi juga akan ditanam secara moden, tidak lagi seperti sekarang. Kemungkinan ada tanaman baru ditanam sebagai alternatif kepada padi seperti gandum, jagung, keledek dan tanaman yang menitik beratkan nutrisi dan kesihatan. Semua tanaman ini nanti akan boleh ditanam dengan sistem pengendalian terlindung.

vi. Pengeluaran makanan yang siap diproses seperti makanan dalam tin, makanan sejuk beku, makanan RTE (ready to eat) akan berkembang berikutan permintaan yang tinggi. Pengusaha pertanian akan mempunyai teknologi dan kemudahan pembungkusan ditempat mereka sendiri.

vii. Pasar-pasar basah seperti pasar borong di Selayang, Pasar Chow Kit, Pasar Pudu serta pasar malam dan pasar tani akan pupus. Ini kerana pengguna tidak lagi mahu mengambil risiko pergi ke pasar basah seperti yang berlaku di Wuhan. Peniaga  di pasar borong hanya akan berurusan dengan pasar raya besar dan pelanggan tetap sahaja.

Dengan berlakunya kebiasaan baru dalam industri pertanian ini, pengguna-pengguna dijangka mendapat faedah yang lebih baik terutama dari segi harga makanan, kualiti dan servis yang baik. Ianya turut akan dapat mengurangkan peranan orang tengah dan mengawal tindakan-tindakan kartel didalam pasaran tradisional sekarang.

Adalah diharapkan pengusaha-pengusaha pertanian, agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Pertanian dan Asas Tani, MPOB, MRB, Felda, Lembaga Nenas dan yang penting sekali pengguna-pengguna akan bersedia dengan kebiasaan baru ini.

Covid-19 sebenarnya telah berjaya menyedarkan kita bahawa betapa pentingnya kita menjaga dan memodenkan industri pertanian ini dan betapa perlunya kita memperkasakan ‘food security’ negara kita.

Zakaria Arshad

 

Oleh: Datuk Zakaria Arshad, Lembaga Pengarah Koperasi Permodalan Felda