Home Utama Dr Noor Hisham nasihat kerajaan henti dulu aktiviti ekonomi termasuk gunting rambut

Dr Noor Hisham nasihat kerajaan henti dulu aktiviti ekonomi termasuk gunting rambut

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kerajaan dinasihati supaya menungguhkan dahulu operasi secara berperingkat segala sektor ekonomi yang terpilih termasuk perkhidmatan gunting rambut di negara sekurang-kurangnya selama dua minggu lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata langkah itu perlu kerana ketika ini negara sedang memasuki fasa ketiga penguatkuasaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.

Beliau mengakui ramai rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan PKP fasa pertama dan kedua sejak 18 Mac lalu.

“Apa yang penting kita sedang berjuang memerangi Covid-19 dan kita masih belum menang dalam peperangan tersebut, tetapi apa yang penting tindakan kita selama ini dalam menyekat penularannya.

“Kita sudah dapat lihat tanda-tanda kejayaan menurunkan kes positif Covid-19 dengan tindakan kawalan sempadan, larangan berhimpun dan juga amalan penjarakan sosial,” katanya ketika ditanya dalam sidang media harian situasi semasa jangkitan Covid-19 petang tadi.

Menurutnya, jika dilihat semula semua tindakan yang dilaksanakan selama ini harus diperketatkan lagi untuk fasa ketiga akan datang pada minggu hadapan.

“Dari segi perancangan untuk membuka atau menghadkan pergerakan, KKM mengesyorkan kita kekalkan dengan segala tindakan yang telah dilaksanakan selama ini pada fasa pertama dan kedua.

“Mungkin perancangan (operasi sektor ekonomi) boleh dijalankan tetapi pelaksanaannya perlu ditangguhkan sementara,” ujarnya lagi.

Justeru beliau juga menegaskan perancangan berkenaan juga perlu diteliti selepas fasa ketiga mengenai perancangan negara seterusnya.

“Jadi mungkin fasa ketiga perancangan bermula untuk kita laksanakan tetapi yang penting kita sentiasa memantau dari segi data-data kita seharian untuk kita melihat sama ada kita mencapai unjuran kementerian kesihatan untuk mengurangkan kes Covid-19 di negara kita,” tegas beliau.

Ditanya sama ada industri ekonomi berkenaan akan diminta beroperasi terus sepenuhnya atau secara berperingkat juga selepas fasa ketiga atau tamatnya PKP, beliau menegaskan wujud situasi berkemungkinan semua tidak dapat kembali kepada kelaziman kehidupan normal seperti sebelum krisis Covid-19.

“Maka mungkin ada nasihat KKM untuk semua ialah kita perlu mengamalkan penjarakkan yang selamat dan keduanya mungkin kita tidak membenarkan perhimpunan kerana apabila keadaan demikian berlaku kebarangkalian untuk jangkitan atau kebolehjangkitan Covid-19 akan berlaku lagi.

“Kita perlu melihat industri berkenaan serta cara kita melaksanakan aktiviti harian nanti dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. Sepatutnya mereka yg nak tinggal dihotel hendaklah dgn bayar sendiri. Klau rakyat yg tak ikut pkp iene denda dan penjara maka mereka yg tak mau kuarantin 14 hari patut juga didenda dan penjara.

  2. Betul tu.. Ada kata2 menteri yg bercanggah mungkin memikirkan kepentingan sendiri.. Jika tidak dibendung dan dikawal hbs merebak semula.. Cthnya sektor pembinaan yg saling berkait rapat dengan sektor lain.. Tolong la kaji semula dan beri keputusan yg menyelamatkan nyawa rakyat bukan kepentingan pihak2 tertentu..

Comments are closed.