Home Nasional Cukuplah 100 keluarga India berkorban 38 tahun tinggal di rumah panjang

Cukuplah 100 keluarga India berkorban 38 tahun tinggal di rumah panjang

Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa hadir bagi meninjau keadaan penduduk rumah panjang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan Covid-19 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 11 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Seramai 100 keluarga yang sudah menghuni rumah panjang Bukit Kiara dalam kalangan masyarakat India mungkin boleh menarik nafas lega selepas ini.

Pengorbanan mereka tinggal di rumah panjang kerana memberi laluan kepada pelbagai pembangunan mewah termasuk ‘golf course’ dan pada awalnya dijanjikan hanya sementara waktu, namun kini sudah mencecah lebih 38 tahun akhirnya ada noktah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berikrar akan memastikan penantian itu bukan sahaja berakhir secepat mungkin malah setiap keluarga akan mendapat rumah percuma.

Janji beliau kepada para penduduk rumah panjang itu pasti memberikan sinar serta kegembiraan tidak terhingga buat mereka.

“Hakikatnya ini sudah terlalu lama, keluarga ini di janjikan rumah percuma dan hanya tinggal sementara waktu sahaja di rumah panjang, sedar tidak sedar kini ianya sudah melangkaui lebih 38 tahun.

“Sejak saya di DBKL sehinggalah kini sudah jadi menteri, keluarga-keluarga ini masih lagi menetap di sini tanpa mendapat rumah percuma mereka.

“Saya hendak dan akan pastikan 100 keluarga di rumah panjang Bukit Kiara ini mendapat rumah percuma mereka, ini tidak adil apa yang berlaku kepada mereka. Mereka patut layak dapat apa yang telah di janjikan.

“Selain rumah percuma, generasi kedua mereka pula layak mendapat sebuah lagi rumah dengan diskaun 50 peratus. Itu adalah janji antara penduduk dan pemaju.

“Derita mereka perlu ditamatkan. Mereka sudah berkorban sekian lama sehingga untuk pembangunan mewah termasuklah padang golf.

“Tidak ada gunanya untuk mereka tunggu 15 tahun lagi, kepada sesiapa yang hendak duduk semeja dengan saya, di persilakan untuk selesai isu ini dengan baik. Saya sentiasa terbuka. Jangan ada pihak yang cuba berani halang pula,” katanya.

Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa hadir bagi meninjau keadaan penduduk rumah panjang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan Covid-19 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 11 APRIL 2020

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan selain menyerahkan sumbangan kepada para penduduk di rumah panjang itu.

Kehadiran beliau bukan sahaja menerima reaksi positif malah ramai tampil meluah perasaan lega dengan ikrar Annuar.

MalaysiaGazette difahamkan penduduk rumah panjang Bukit Kiara yang pernah bekerja di Ladang Bukit Kiara dipindahkan ke rumah panjang di kawasan TTDI pada tahun 1982 selepas ladang asal dijual bagi tujuan pembangunan.

Hasil perjuangan selama 30 tahun lalu, pada 2013 kesemua penduduk generasi pertama iaitu warga emas di situ dijanjikan rumah mampu milik secara percuma.

Gelagat penduduk rumah panjang yang menantikan ketibaan Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa bagi meninjau keadaan mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 11 APRIL 2020

Namun, sehingga sekarang ia masih tidak dapat dimulakan kerana dibantah oleh penduduk  sekitar TTDI yang menyifatkan projek merangkumi lebih 2,600 unit rumah mampu milik serta kondominium akan mengakibatkan pencemaran udara dan kesesakan lalu lintas.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh memberi amaran kepada para pemaju, tidak ada sebatang pokok sekalipun dalam lot Taman Rimba boleh ditebang sebaliknya mereka diwajibkan menambahkehijauan taman tersebut.

Gelagat penduduk rumah panjang yang menantikan ketibaan Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa bagi meninjau keadaan mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 11 APRIL 2020

“Jangan ada sesiapa berani usik Taman Rimba, tiada sebarang kompromi dalam isu tersebut,” tegasnya. –MalaysiaGazette