PUTRAJAYA – Datuk Dr. Noor Hisham menyifatkan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memutuskan rantaian pandemik Covid-19 dan menurunkan kes itu sepenuhnya umpama berada dalam ’10 meter terakhir dalam larian maraton’.
Ketua Pengarah Kementerian itu berkata, kerajaan kini berada dalam fasa menghampiri garisan penamat dalam mencapai kejayaan memutuskan sepenuhnya rantaian pandemik global itu.
“Kita nampak unjuran menurunkan kes Covid-19 semakin meyakinkan. ia umpama orang kata kita berlari 100 meter itu dan ini 10 meter terakhir yang paling penting sekali.
“Kalau kita lari maraton, 10 meter terakhir inilah akan tentukan berjaya atau tidak. Jadi kita kena bersabar dalam perjuangan kita,” katanya ketika ditanya selepas sidang media situasi semasa Covid-19 semalam.
Ditanya sama ada kehidupan rakyat akan dibenarkan kembali segera atau berperingkat dalam memulakan sebarang aktiviti luar kediaman di negara ini, beliau menjelaskan, ia akan dilaksanakan secara berperingkat.
Menurutnya rakyat tidak boleh kembali terus ke norma hidup biasa dengan kadar segera.
“Contohnya, habis sahaja fasa ketiga kita terus seperti cara biasa dahulu.Kita sebenarnya perlu bermula secara berperingkat, misalnya contohnya kalau sesi sekolah, kita tak boleh beri terus, mungkin cara berperingkat-peringkat dulu. Kalau tidak mungkin semua orang akan pergi ke stesen bas dan sebagainya dalam kelompok besar.
“Mungkin kita akan rancang dengan lebih teliti lagi untuk mengelakkan perhimpunan (skala besar) sama ada di stesen bas, di stadium dan sebagainya.
“Kita kena rancang dengan betul, apa yang penting penjarakan sosial, tiada perhimpunan, itulah konsep kita, sentiasa cuci tangan yang paling penting kejayaan kita adalah duduk di rumah.
“Jadi kita nasihat kan semua. Kalau yang terpaksa, contoh essential list dari hari pertama kita sudah benarkan, contoh makanan.
“Kita tidak ada masalah dari segi essential list. Tapi kalau lebih ramai orang tak duduk rumah dan keluar jadi kebarangakalian atau kebolehjangkitan itu meningkat. Konsep dia mudah saja, duduk di rumah kurangkan jangkitan,” katanya lagi.
Ditanya sama ada akan berbincang mengenai nasihatnya dengan kerajaan, Noor Hisham berkata, semua kementerian perlu merancang daripada segi pelaksanaan secara berhati-hati.
“Ia bukan seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu hari ini cuti esok kembali bekerja serta merta pula. ia bukan sebegitu dan kita galakkan semua kementerian merancang dan mungkin pelaksanaannya dilewatkan sedikit.
“Mungkin kita akan mempertimbangkan memulakan rakyat kembali ke norma hidup dengan mengutamakan sektor utama dahulu sebelum sesi persekolahan iaitu mungkin kita membuka operasi tingkatan lima dan tingkatan enam atas yang akan menduduki peperiksaan awam,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette