Home Dunia WHO akan teliti kes virus aktif semula

WHO akan teliti kes virus aktif semula

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang meneliti laporan beberapa kes pesakit Covid-19 yang didapati positif semula selepas diuji negatif.

Ia susulan laporan dari Korea Selatan yang mendakwa virus berkenaan aktif semula.

WHO berkata, pihaknya tahu mengenai laporan berhubung individu yang diuji negatif Covid-19 menggunakan PCR (polymerase chain reaction), didapati positif apabila diuji beberapa hari kemudian.

“Kami telah meminta pakar-pakar klinikal untuk mendapat maklumat lanjut mengenai kes-kes ini. Adalah penting untuk memastikan apabila sampel-sampel yang dikutip daripada pesakit, mengikut prosedur yang betul,” katanya.

Menurut garis panduan WHO, pesakit yang dibenarkan keluar hospital selepas keputusan dua ujian yang dibuat didapati negatif dalam tempoh 24 jam.

Berdasarkan kajian semasa, terdapat kira-kira dua minggu antara timbulnya gejala dan pemulihan klinikal pesakit dengan simptom ringan.

“Kami menyedari bahawa sesetengah pesakit adalah PCR positif selepas mereka pulih secara klinikal, tetapi kami memerlukan pengumpulan sampel sistematik dari pesakit yang pulih untuk lebih memahami berapa lama virus hidup,” katanya.

Pegawai kesihatan Korea Selatan berkata, pihaknya masih tidak jelas di sebalik trend itu tetapi siasatan epidemiologi sedang dijalankan.- MalaysiaGazette