Home Utama Penamatan perjanjian Bandar Malaysia muktamad – PM

Penamatan perjanjian Bandar Malaysia muktamad – PM

Ilustrasi Bandar Malaysia

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menegaskan penamatan perjanjian bagi projek TRX City dan Bandar Malaysia sebelum ini sebagai muktamad.

Datuk Seri Najib Razak berkata, TRX City dan Bandar Malaysia akan mengumumkan proses permintaan cadangan bagi menjemput “penyataan minat” bagi peranan pemaju induk Bandar Malaysia.

Menurutnya, menerusi perkembangan itu, kerja-kerja Jawatankuasa Budiman yang ditubuhkan pada tahun 2015 untuk menyelia program rasionalisasi 1MDB ditamatkan.

Beliau berkata, bagi memastikan potensi sepenuhnya dapat direalisasikan dalam menjaga kepentingan rakyat dan negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah dilantik sebagai Pengerusi TRX City dan Bandar Malaysia.

“Beliau (Mohd Irwan) akan mengetuai pasukan yang bertanggungjawab secara keseluruhan bagi projek-projek dan menjana pendapatan bagi baki aset hartanah 1MDB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama Najib berkata, proses pemilihan untuk pemaju induk akan melibatkan kriteria yang ketat termasuk prestasi yang telah terbukti, kemampuan menyiapkan projek, rekaan kandungan dan keupayaan untuk menyiapkan projek sebesar itu.

“Kita akan memastikan bahawa tawaran yang mempunyai nilai tinggi diperolehi,” ujarnya.

Katanya lagi, dalam usaha untuk memastikan negara dan rakyat mendapat manfaat sebanyak mungkin, Kementerian Kewangan akan mengekalkan pemilikan 100 peratus Bandar Malaysia.

Bandar Malaysia merupakan tapak pembangunan terbesar di negara ini yang mempunyai kedudukan strategik utama di ibu negara.

Ia akan menjadi sebuah pusat bandar baharu bagi Kuala Lumpur serta komuniti yang berkualiti sebagai tempat tinggal orang muda dan yang berkeluarga.

Bandar Malaysia akan berkembang maju untuk perniagaan kecil dan besar serta menjadi destinasi menarik untuk semua termasuk pelancong yang mahu menikmati kesenian, kebudayaan dan segala apa yang Malaysia tawarkan. – MalaysiaGazette