KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta tidak membenarkan perniagaan gunting rambut beroperasi sehingga keadaan penularan Covid-19 stabil kerana dibimbangi menjadi punca penularan pandemik berkenaan.
Naib Presiden Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Masyarakat Malaysia (MSOSH), Dr. Shawaludin Husin berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) melaksanakan kedai gunting rambut dilihat tidak ada apa di atas kertas tetapi ia tidak praktikal malah mengundang bahaya.
“Ini kerana tiada siapa boleh memantau tahap kesihatan tukang gunting rambut atau pelanggan mereka setiap masa malah lebih bahaya trend terkini iaitu dijangkiti daripada pembawa yang tidak menunjuk simptom wabak yang ketara.
“Suspek pembawa ini tak perlu demam pun, tak batuk pun hanya cukup sakit tekak sahaja tetapi ada potensi menjadi penyebar.
“Kos alat pakai buang yang mahal contohnya topeng muka kosnya RM1.50 perlu dibuang setiap empat jam sekali, alat kesan suhu dulu RM50 kini sudah RM400 harganya tidak logik untuk hanya digunakan buat masa PKPD ini.
“Ruang kedai gunting biasanya kecil, dan berada dalam penghawa dingin lebih daripada 2 jam boleh memangkinkan penyebaran wabak.
“Selain itu, tidak logik boleh wujud penjarakan sosial satu meter untuk gunting rambut dan perlu diselesaikan dalam tempoh 15 minit,” katanya hari ini.
Tambah Dr. Shawaludin, kebimbangan rakyat adalah pelaksanaan yang dibuat atas tekanan industri dan bukannya atas nasihat yang betul boleh memberi implikasi kepada rakyat dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian wabak.
Katanya, sektor kritikal ketika ini adalah berkaitan keperluan asas, keselamatan dan bekalan makanan dan keperluan tempatan sahaja.
“Perkhidmatan perubatan alternatif juga tidak dimaklumkan secara khusus adakah ia membabitkan khidmat phisioterapi, urut, bekam, akupuntur dan lain-lain yang mana majoriti melibatkan hubungan sentuhan fizikal dalam rawatan.
“Jika dibenarkan maka sia-sialah PKP fasa 1, fasa 2, dan dibimbangi jika dibuka susah hendak kawal, contohnya kedai gunting rambut orang akan buat alasan keluar untuk gunting rambut.
“Kita kasihan barisan hadapan KKM yang cukup penat, jika wujud gelombang ke 4 dan seterusnya akan menyebabkan rakyat berkurung, lebih banyak tekanan kerana banyak perniagaan, persekolahan dan lain -lain aktiviti tidak dapat berjalan.
“Contoh banyak klinik swasta sekarang terpaksa hadkan jenis kes, hadkan bilangan penerimaan pesakit, hadkan tempoh operasi bagi memastikan risiko jangkitan tidak tinggi dikalangan doktor dan staf,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan kerajaan supaya meneliti setiap aspek sebelum membenarkan mana-mana sektor dibuka semula.
“Mereka juga perlu melihat adakah pemain industri atau pemilik perniagaan ini mematuhi langkah kawalan contohnya adakah cecair pembasmi kuman, cecair nyahkuman mematuhi piawaian contohnya berapa peratus alkohol dan lain-lain jenis kimia yang diiktiraf KKM untuk ia benar-benar boleh menghapuskan virus COVID- 19 ini.
“Akhirnya balik kepada praktikaliti atau realiti untuk memastikan ia tidak memberi kesan masa depan orang ramai,” katanya.- MalaysiaGazette