Home Nasional 41 pesakit kluster Seri Petaling sembuh Covid-19

41 pesakit kluster Seri Petaling sembuh Covid-19

Seramai 41 pesakit positif Covid-19 daripada kalangan pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling telah selamat sembuh dan dibenarkan pulang hari ini.-Ihsan FB KP Kesihatan.

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan seramai 41 pesakit positif Covid-19 daripada kalangan pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling telah selamat sembuh dan dibenarkan pulang hari ini.

Mereka merupakan sebahagian daripada pesakit positif Covid-19 daripada kluster tabligh yang sebelum ini dikuarantin di Institut Sosial Malaysia dan dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) pada 2 April 2020.

“Para pelajar terbabit adalah pelajar lelaki berumur dari 14 hingga 29 tahun. Mereka telah terdedah kepada Covid-19 samada ketika menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada awal Mac 2020 dan juga daripada persekitran masjid selepas perhimpunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua mereka tidak mengalami sebarang simptom dan dua ujian saringan awal pada pertengahan Mac dan pada 24 Mac adalah negatif.

Bagaimanapun, ujian ketiga yang diambil pada 30 Mac lalu adalah positif dan kesemua mereka dikuarantin di Institut Sosial Malaysia.

Kesemua mereka kemudiannya dirawat di wad di HCTM dengan hanya seorang yang menunjukkan tanda-tanda dijangkiti Covid-19 dan diberikan rawatan Hydrochloroquine.

Kumpulan pelajar ini merupakan pesakit pada usia muda, justeru proses penyembuhan dan prognosis mereka adalah lebih baik berbanding pesakit yang berusia ataupun yang menghidap penyakit kronik lain seperti hipertensi atau kencing manis.

“Walau bagaimanapun, mendapatkan rawatan di peringkat awal semasa di tahap 1 sehingga 3 adalah amat penting. Daripada aspek kawalan Covid-19, proses kuarantin awal dan isolasi di wad bagi kesemua 41 pelajar ini selepas didapati positif merupakan langkah yang amat penting.

“Di dalam kes ini, kesemua 41 mereka tidak mengalami sebarang simptom tetapi mampu untuk menjangkiti dan menyebarkan Covid-19 kepada masyarakat sekeliling tanpa menyedari mereka telah dijangkiti,” jelas Noor Hisham lagi. – MalaysiaGazette

+ posts

1 Komen

  1. Senang tak jaga dorang ni berbanding dari kluster kayangan tu?? Mesti yg dari kayangan tu perasan dia dewa dewi kan!!!

Comments are closed.