KUALA LUMPUR – Johor Daru Ta’zim (JDT) menafikan kelab itu membelanja RM5 juta untuk mendapatkan pemain import Kelantan, Mohammed Ghaddar.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, laporan akhbar berhubung perkara tersebut silap dan berita itu disiarkan bertujuan melariskan akhbar berkenaan.
“Kelab JDT tidak akan bayar RM5 juta untuk pemain berusia 35 tahun. Saya minta penyokong jangan cepat percaya kepada laporan akhbar. (Berita) RM5 juta itu cuma untuk jual surat khabar.
“Saya tahu harga sebenar dan ia adalah munasabah,” katanya dalam satu wawancara yang disiarkan di laman Facebook rasmi JDT hari ini.
Pengarah Sukan Kelab JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan bagi menjustifikasikan tindakan kelabnya mendapatkan Ghaddar mendakwa langkah tersebut “win-win situation” kepada semua pihak terlibat.
Kata Alistair, ia satu tawaran yang baik untuk kedua-dua kelab di mana Kelantan akan dapat menyelesaikan beberapa isu-isu kewangan serta membeli beberapa pemain baru.
Sebilangan penyokong pasukan Kelantan tidak dapat menerima hujah tersebut dan mendakwa ayat “win-win situation” itu hanya alasan untuk JDT mendapatkan Ghaddar yang sedang berada diprestasi terbaik.
Tunku Ismail berkata, keputusan JDT mengambil Ghaddar kerana ia selaras dengan polisi kelab itu untuk berjimat pada musim ini.
Katanya, Ghaddar juga berada diprestasi terbaik dan merupakan penjaring terbanyak setakat ini. – MalaysiaGazette