LONDON – Britain telah membatalkan pesanan untuk ribuan unit ventilator model sederhana yang dibangunkan oleh syarikat perindustrian untuk merawat Covid-19 kerana alat yang lebih canggih kini diperlukan, kata sumber yang terlibat dalam projek itu.
Kerajaan mengesahkan ia tidak lagi memerlukan model ventilator yang dikenali sebagai BlueSky.
“Kami tidak lagi menyokong pengeluaran peranti BlueSky berikutan penilaian semula daya maju produk berdasarkan keperluan untuk merawat Covid-19,” kata jurucakap Pejabat Kabinet yang menyelaraskan tempahan peralatan itu.
“Kami terus berusaha dengan segera mendapatkan beberapa pengeluar lain untuk meningkatkan pengeluaran ventilator di United Kingdom,” kata jurucakap tersebut.
Kerajaan telah merayu kepada industri untuk meneruskan dengan model ventilator baru yang boleh dihasilkan secara besar-besaran pada notis singkat untuk membantu menangani masalah Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan untuk pesakit-pesakit koronavirus baru.
Lebih daripada 30,000 ventilator secara keseluruhan telah dipesan dari pelbagai firma konsortium daripada pelbagai sektor termasuk aeroangkasa, kejuruteraan dan Formula Satu.
Sumber berkata, kerajaan telah memberi pelbagai alasan kepada BlueSky untuk membatalkan pesanan dengan menyatakan jumlah keseluruhan jangkitan koronavirus di United Kingdom semakin perlahan ketika BlueSky sedang bersiap sedia untuk melakukan penghantaran ribuan unit ventilator.
Hakikatnya, kes koronavirus di hospital-hospital lebih kompleks daripada yang dijangkakan.
Dengan beberapa projek yang bersaing untuk komponen yang sama, dengan bekalan terhad, kerajaan memutuskan untuk memberi keutamaan kepada peranti yang lebih canggih dan membatalkan tempahan BlueSky dengan serta-merta, kata sumber itu.
Kerajaan akan meneruskan pengeluaran dan penyampaian peranti lain sebagai sebahagian daripada inisiatif industri.
Peranti paraPac pertama dari Smiths Group akan dihantar ke hospital pada hari Ahad.
Peranti lain sedang melalui ujian, termasuk produk yang baru direka.
Kerajaan berkata, ia akan mengesahkan pesanan sebaik sahaja peranti baru mendapat kelulusan dan mengesahkan jadual penghantaran. – MalaysiaGazette