Home Seni Hidup Mesin ADS jadi pilihan premis kilang, stesen minyak

Mesin ADS jadi pilihan premis kilang, stesen minyak

Mesin ADS mendapat banyak tempahan di kalangan premis kilang yang beroperasi dan stesen minyak.

KUALA LUMPUR – Kebimbangan peningkatan kes positif virus Covid-19 menarik minat syarikat pemaju perumahan, Al Ansar IBS PLT membangunkan sistem penyembur nyahkuman automatik dikenali sebagai Al Ansar Disinfectant Spay (ADS).

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Muhamad Khanafi Husin berkata, ADS direkacipta oleh anak tempatan dan diketuai olehnya sebagai inisiatif untuk membantu pihak kerajaan dalam memerangi penularan wabak yang ketika ini turut menyerang seluruh dunia.

“Objektif pembinaan ADS untuk membantu mengekang rantaian penularan virus di kalangan masyarakat. Ini kerana langkah pencegahan adalah lebih baik dan usaha membangunkan mesin inovasi ini penting terutama kepada pasukan barisan hadapan yang bertungkus-lumus memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lancar namun kepentingan kesihatan mereka juga wajar diberi perhatian utama.

“Pemasangan sistem penyembur pembasmi kuman tersebut dicadangkan di lokasi dan premis yang dikunjungi orang ramai seperti di pintu laluan memasuki lapangan terbang, agensi kerajaan yang beroperasi seperti hospital, klinik, balai polis, balai bomba, pintu masuk pasar raya, stesen minyak, pejabat-pejabat kerajaan, pejabat swasta dan kilang-kilang,” katanya.

Muhamad Khanafi Husin

Al Ansar IBS PLT sebelum ini terlibat selama 20 tahun dalam bidang pembinaan rumah di negara ini melalui kaedah inovasi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Mengulas lanjut, Muhamad Khanafi berkata,  mesin ADS itu direka menggunakan kaedah  dibuat mengikut spesifikasi atau custom made dan mesra pelanggan.

Jelas beliau, ia boleh diubah suai dan mudah alih untuk kegunaan di luar atau di dalam bangunan dan membantu mengurangkan peningkatan kes jangkitan.

Tambahnya, buat masa ini tempahan diterima di kalangan premis kilang yang beroperasi dan stesen minyak namun ia juga turut menarik pihak persendirian untuk memiliknya.

“Formulasi larutan nyahkuman atau cecair pembersih yang digunakan berasaskan dua bahan aktif yang terbukti berkesan secara klinikal dan disokong dengan laporan ujian makmal iaitu berkesan membunuh virus.

“Semburannya halus dan sekata dan mampu untuk meliputi semua permukaan tubuh. Mempunyai lampu indikator sebelum dan selepas penyemburan untuk pembasmian sempurna dan sebagai panduan kepada pengguna tempoh masa yang digunakan,”katanya.

Khanafi menambah, selain mesin ADS, syarikat turut mengeluarkan produk cecair pembasmi kuman yang dapat membantu membunuh kuman secara cepat tanpa perlu dibilas atau melekit, tidak memberi kesan sampingan ke atas kulit , mematuhi piawaian dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mesin ADS juga katanya menggunakan cecair pembasmi yang sama dan turut dijual secara berasingan iaitu 100 mililiter (ml) pada harga RM15, satu liter (RM70) dan 20 liter berharga RM600.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 01113107525 dan 01113107086 atau layari www.alansarmarketing.com. – MalaysiaGazette