ANKARA – Majlis memperingati ulang tahun ke-31 tragedi Hillsborough di stadium Liverpool, Anfield ditunda, susulan wabak COVID-19, lapor agensi Anadolu.
“Kumpulan Sokongan Keluarga Hillsborough (HFSG) merancang mengadakan upacara memperingati di Anfield, malangnya ia terpaksa ditangguhkan kerana wabak COVID-19,” kata Liverpool dalam satu kenyataan hari ini.
“Walaupun peminat tidak dapat hadir di Anfield minggu ini, kami mempelawa semua penyokong di seluruh dunia untuk bersama-sama memperingati 96 mangsa yang terkorban, keluarga mereka dan semua yang terkesan dengan tragedi itu,” tambah kenyataan itu.
Kelab itu berkata pemain dan petugas akan bertafakur seminit untuk memperingati mangsa dan bendera kelab dikibarkan separuh tiang pada Rabu.
Tragedi Hillsborough berlaku pada 15 April 1989, ketika perlawanan separuh akhir Piala FA antara Liverpool dan Nottingham Forest di Stadium Hillsborough, Sheffield.
Kejadian itu meragut 96 nyawa, menjadi peristiwa paling buruk dalam sejarah sukan England.- BERNAMA