KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini menafikan dua lagi berita palsu yang ditularkan di media sosial sejak semalam ketika negara menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Pasukan Respon Pantas KKMM, dua laporan palsu itu melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Antaranya JKNP menafikan dakwaan bahawa lelaki warga Indonesia yang meninggal dunia di sebuah rumah di Kampung Selamat, Sitiawan, Perak disebabkan oleh jangkitan wabak Covid-19.
“Sebaliknya lelaki tersebut meninggal dunia disebabkan masalah kesihatan radang otak (meningitis),” katanya Pasukan Respon Pantas KKMM dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, MBJB pula menafikan pernah melantik beberapa individu untuk memohon sumbangan berbentuk wang daripada Tabung Covid-19 MBJB.
“Sebenarnya Tabung Covid-19 MBJB tidak pernah wujud,” katanya lagi. – MalaysiaGazette