KUALA LUMPUR – Penularan vuris Covid-19 yang semakin meruncing dan telah meragut ribuan nyawa setakat ini menuntut masyarakat antarabangsa supaya bertindak secara proaktif menangani pandemik berkenaan.
Laporan Intergovernmental Panel on Biodiversity and Ecosystem Services (IPBES) pada tahun 2019 menunjukkan, besar kemungkinan wabak coronavirus seperti COVID-19 turut berpunca daripada kegiatan manusia mengganggu-gugat habitat hidupan liar.
Tindakan mereka itu dikatakan telah membebaskan virus yang boleh mendatangkan penyakit kepada manusia.
Menyedari perkara itu, Wyss Campaign for Nature (WCN) dan National Geographic Society (NGS) yang beribu pejabat di Washington DC, Amerika Syarikat telah bekerjasama menggerakkan kempen berskala besar peringkat global yang dikenali sebagai Kempen Alam Semulajadi (Campaign for Nature). https://www.campaignfornature.org
Bagi tujuan itu, WCN dan NGS telah melantik bekas Penasihat Sains Perdana Menteri, Prof. Tan Sri Zakri Abdul Hamid sebagai Duta dan Penasihat Sains kepada kempen berkenaan.
Tujuan utama kempen ini yang kini disokong oleh lebih 100 pertubuhan pemuliharaan alam sekitar terkemuka dunia adalah untuk menggalakkan ketua-ketua negara menyokong program memulihara alam semula jadi berasaskan bukti-bukti saintifik, secara besar-besaran.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman berkata, pelantikan itu adalah yang terbaharu diterima oleh Zakri sepanjang khidmat cemerlang beliau di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Prof Zakri telah memainkan peranan yang penting dalam urus tadbir sains di negara ini dan terkenal sebagai pemimpin sains di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang kepelbagaian biologi,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan MIGHT.
Antara anugerah yang pernah diterima oleh Zakri termasuklah Midori Biodiversity Prize (2018), ASEAN Biodiversity Hero (2017), dan Anugerah Merdeka (2015).
Zakri yang merupakan Ahli Bersekutu Kanan MIGHT pernah menyandang jawatan Pengerusi Bersama organisasi tersebut.
Beliau kini adalah Pengerusi Atri Advisory iaitu sebuah syarikat perunding yang menasihati kerajaan, badan antarabangsa dan sektor swasta mengenai pembangunan lestari dan pemuliharaan kepelbagaian bio (biodiversity).
Sementara itu, Pengarah Campaign for Nature, Brian O’Donnell berkata, Zakri dipelawa menyertai kempen ini kerana kewibawaan beliau sebagai Pengerusi dan Pengasas IPBES yang dianggotai 134 buah negara selain pengalaman beliau sebagai Ahli Lembaga Penasihat Sains, Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon. “
“Laporan IPBES tahun 2019 yang dimulakan semasa Zakri menjadi Pengerusinya, menunjukkan hampir satu juta spesies diancam kepupusan dan adalah menjadi tanggungjawab semua kerajaan di seluruh dunia untuk mengambil langkah-langkah berani melindungi alam semula jadi. Negara anggota ASEAN mempunyai keupayaan untuk membantu menyelesaikan krisis kepelbagaian bio ini, dan kami bersedia bekerjasama dengan mereka dengan bimbingan Zakri.”
Mengulas pelantikan itu, Zakri berkata, pengiktirafan ini bukanlah bersifat peribadi sebaliknya lebih kepada bagaimana dunia melihat Malaysia menguruskan sumber semula jadinya dengan bijaksana.
“Sebagai salah sebuah daripada 17 negara terkaya dengan kepelbagaian bio (biodiversity) di muka bumi ini, kita bertanggungjawab memulihara dan menggunakannya secara lestari.
“Negara ini telah lama proaktif menangani isu-isu global semenjak Sidang Kemuncak Bumi (Earth Summit) lagi yang berlangsung pada tahun 1992,” katanya. – MalaysiaGazette