PUTRAJAYA – Lima kematian akibat pandemik Covid-19 dilaporkan setakat ini, satu daripadanya melibatkan seorang lelaki dewasa tanpa identiti dipercayai warga asing yang ditemui meninggal dunia di Kota Kinabalu, Sabah.
Keputusan ujian sampel Covid-19 yang diambil semasa bedah siasat mangsa didapati positif pada 11 April lalu.
“Kes ini di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di sini.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kematian setakat ini adalah seramai 82 orang dengan kadar kematian di negara ini sebanyak 1.64%.
Beliau berkata, sebanyak 202 pesakit pula telah sembuh dan discaj hospital menjadikan jumlah keseluruhan 2,478 kes bersamaan dengan 49.69% kadar kesembuhan dari jumlah keseluruhan kes positif.
Menurut Dr Noor Hisham, kes baharu yang dilaporkan setakat ini adalah sebanyak 170 kes menyumbangkan kepada keseluruhan 4,987 kes.
Statistik terbaharu juga menunjukkan 60 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 33 daripada jumlah tersebut memerlukan bantuan alat pernafasan
Mengenai empat lagi mangsa Covid-19 yang meninggal dunia, katanya, mereka berusia antara 60 tahun hingga 80 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi serta penyakit buah pinggang.
Dua daripada mangsa mempunyai kontak rapat dengan kluster Seri Petaling, katanya.
“Kes kematian ke-79 (kes ke-2052) merupakan lelaki
warganegara Malaysia berumur 65 tahun. Mangsa telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac 2020 dan disahkan
meninggal dunia pada 14 April.
“Kes kematian ke-80 (kes ke-4818) merupakan lelaki
warganegara Malaysia berumur 63 tahun.
“Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 7 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April jam 11.36 malam,” katanya
Mengulan kematian ke-81, katanya ia merupakan kes ke-4521 di mana mangsa seorang wanita tempatan berusia 74 tahun dan mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, iaitu kes ke-4088 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.
“Kes kematian ke-82 (kes ke-1649) merupakan lelaki
warganegara Malaysia berumur 81 tahun. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, iaitu kes ke-343 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling,” katanya lagi. – MalaysiaGazette