KUALA LUMPUR – Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini boleh membuat pengeluaran i-Lestari (Pengeluaran Akaun 2) melalui kemudahan i-Lestari Online yang baru sahaja dilancarkan.
Kemudahan i-Lestari Online menawarkan pengalaman yang lebih baik, yang mana ahli boleh memohon dengan lebih mudah, menyemak status permohonan dan mengakses soalan-soalan lazim hanya dengan melayari laman sesawang KWSP melalui komputer atau peranti mudah alih yang boleh mengakses Internet.
Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias mengakui proses permohonan pada masa tersebut agak rumit dan telah menyebabkan pelbagai kekeliruan.
Tambahan pula, masih ramai ahli KWSP yang tidak mempunyai i-Akaun dan ini menyukarkan mereka untuk memohon kerana ia adalah antara saluran utama bagi penghantaran permohonan pengeluaran i-Lestari.
“Bagi memastikan keselamatan ahli, majikan dan anggota KWSP, kami telah membuat keputusan yang sangat sukar apabila perlu menutup cawangan-cawangan KWSP mulai bulan Mac yang lalu dan memindahkan transaksi serta perkhidmatan kami, termasuk permohonan pengeluaran i-Lestari, ke platform digital,” katanya.
Sejak dilancarkan, KWSP telah menerima lebih 1.4 juta permohonan pengeluaran i-Lestari setakat jam 6 petang semalam.
Jumlah permohonan yang tinggi ini telah menyebabkan portal i-Akaun KWSP menerima permintaan untuk mengakses ke laman web secara purata 60,000-70,000 seminit, kenaikan 15 kali ganda berbanding 4,000-7,000 seminit pada hari
biasa.
KWSP juga menerima emel pertanyaan berkenaan Pengeluaran i-Lestari secara purata 20,000 sehari.
Sehingga kini, lebih 700,000 permohonan telah diluluskan dan pengkreditan ke akaun pemohon akan bermula pada 4 Mei 2020.
“Untuk menangani peningkatan jumlah akses trafik dalam talian yang luar biasa ketika ini, kami telah meningkatkan kapasiti pelayan dan sistem kami beberapa kali ganda.
”Kemudahan Pengeluaran i-Lestari Online ini mengambil masa satu minggu untuk dibangunkan dan ia adalah hasil usaha sepenuhnya oleh sumber dan anggota KWSP sendiri, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyukarkan KWSP untuk mendapatkan kepakaran dan perunding luar.
”Kami cukup terkesan dengan pengalaman sukar yang dialami oleh ahli untuk tempoh dua minggu yang lalu dan ianya telah mendorong kami untuk membangunkan kemudahan i-Lestari Online dalam masa yang singkat. Kami berharap dengan kemudahan dalam talian ini, urusan ahli akan dapat diteruskan dengan lebih lancar,” kata Alizakri. – MalaysiaGazette
Hujung bulan nie sya gnap 55 tahun..sya ingin mngeluarkn dari akaun 1.
Tapi d sbbkn pjbat tup, bgaimana sya ingin mngeluarkn simpnan sya. Sya sudah mncuba mnggunakn on line tapi tidak brjaya krana d situ tiada pngluaran utuk 55 tahun..
Sekiranya PKP d lnjutkn, ia akn mnyusahkn sya krana bnyak yg hrus sya gunakn duit pngeluaran nie.
Harap maklum n trima ksuh.