Home Nasional KKM guna sistem pengkalan data tentukan kekurangan alat PPE

KKM guna sistem pengkalan data tentukan kekurangan alat PPE

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan persiapan pakaian PPE yang bertulis kata-kata semangat sebelum melakukan ujian saringan wabak covid -19 kepada penghuni berikutan Perintah Kawalan Pergerakan masuk hari ke 28 Fasa 2 di Menara Plaza City One, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Bagi memantau rapat paras stok dan kadar penggunaan bagi setiap jenis Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) di setiap negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggunakan sistem pelaporan dan pengkalan data atas talian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata pengkalan itu akan dikendalikan pegawai di setiap Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), hospital-hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) termasuk semua Klinik Kesihatan di bawah PKD masing-masing.

“Semakan segera dan tindakan mobilisasi akan dilakukan mengikut keperluan dan keutamaan. Adalah dimaklumkan juga bahawa setiap jenis PPE perlu dipakai
mengikut keperluan di mana petugas kesihatan bertugas,” jelas Noor Hisham lagi.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut memperincikan beberapa PPE yang masih boleh digunakan oleh pasukan petugas hadapan.

Menurut beliau, kasut dan pelindung but mempunyai baki 78 hari lagi untuk digunakan.

Pelindung kepala berbaki 52 hari,stokĀ  alat penutup hidung dan mulut jenis tiga lapis berbaki 47 hari, pelindung muka pakai buang pula hanya mampu pertahan selama 25 hari.

Paling kritikal adalah jumpsuit atau protective coverall yang mampu bertahan selama 19 hari, juga Apron tahan cecair pakai buang yang mempunyai stok berbaki 23 hari lagi.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut berkata tidak semua petugas KKM diwajibkan memakai semua jenis PPE ketika bertugas.

“KKM menyarankan penggunaan PPE cermat dan berhemah oleh semua petugas kesihatan memandangkan ia digunakan secara berterusan,” katanya lagi.

Semalam, Noor Hisham mendedahkan bekalan Pakaian Pelindung Diri (PPE) hanya mampu menampung kegunaan pasukan petugas hadapan di hospital awam untuk tempoh dua minggu sahaja lagi.

Beliau berkata, pihaknya perlu mendapat bekalan berterusan bagi memastikan pasukan petugas hadapan kerajaan dapat meneruskan tugas mereka dalam menangani penyebaran wabak Covid-19 daripada terus meningkat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PPE hanya mampu bertahan 2 minggu lagi