Home Pendapat Masanya untuk tamatkan Covid-19

Masanya untuk tamatkan Covid-19

Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) memantau kenderaan yang masuk pada sekatan jalan raya OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 masuk hari ke 24 susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan PJU 7/1, Mutiara Damansara. foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2020

HARI ini bermula tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga yang dijadualkna sehingga 28 April 2020. Sedar atau tidak kita sudah menamatkan
dua fasa awal PKP dan berdasarkan kenyataan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kedua-dua fasa ini telah banyak membantu mengekang penularan wabak melalui kluster baru, sekali gus berjaya menidakkan pelbagai ramalan bahawa
kes positif di negara akan naik mendadak pada minggu ini. Ini termasuklah ramalan JP Morgan yang sebelum ini menjangkakan kita bakal berdepan peningkatan kes mendadak sebanyak 6,300 kes menjelang pertengahan April.

Justeru tempoh pelaksanaan PKP fasa ketiga ini dilihat sangat mustahak dan kritikal kepada kita semua. Hal ini kerana fasa ini bakal menentukan sama ada kita berjaya mengekang dan menamatkan penularan wabak ini atau sebaliknya keadaan menjadi semakin buruk. Dalam konteks ini penulis cukup optimistik dengan keyakinan yang telah dizahirkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
bahawa PKP fasa ketiga berupaya menamatkan penularan wabak Covid-19 di Malaysia. Keyakinan ini adalah bersandarkan kepada perkembangan positif statistik semasa penularan wabak terbabit.

Oleh itu, besarlah harapan kita agar pelaksanaan PKP fasa ketiga akan membantu menamatkan penularan wabak ini bagi memenuhi segala permintaan dan doa kita selama ini. Penulis percaya ianya tidak mustahil untuk berlaku asalkan mendapat
kerjasama semua pihak yang sedia berganding bahu memerangi musuh yang tidak kelihatan ini. Maka antara prasyarat utama jika kita mahu menamatkan penularan wabak ialah, pertama seluruh rakyat Malaysia wajib mematuhi arahan PKP ini. Hal ini
sangat penting kerana individu yang ditahan kerana ingkar PKP masih ramai dan ini tidak sepatutnya berlaku.

Sepatutnya kita dengar nasihat pihak berkuasa, duduk diam-diam di rumah, buat kerja dari rumah serta kurangkan aktiviti di luar jika tidak perlu atau penting. Keingkaran dan kedegilan segelintir anggota masyarakat ini cukup mengecewakan semua pihak dan boleh menjadi punca kepada cetusan kluster baru. Justeru kita menyokong penuh keputusan kerajaan yang tidak lagi
mengenakan kompaun kepada yang ingkar sebaliknya terus ditahan dan dituduh di mahkamah.

Kedua, anggota masyarakat perlu terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya seperti kerap membasuh tangan, menggunakan cecair pembasmi kuman, penutup hidung dan mulut serta amalkan penjarakan sosial 1 meter seperti yang
disarankan oleh pihak berkuasa. Hal ini sangat mustahak dalam mengekang penularan virus ini apabila kita berada di luar untuk pelbagai urusan penting termasuk membeli barang dapur dan keperluan harian yang lain. Jadi jangan sesekali abaikan amalan pencegahan yang telah kita laksanakan sepanjang PKP fasa pertama dan kedua. Magis yang diharapkan boleh menjadi kenyataan jika kita sama-sama menjaga kebersihan, kesihatan dan keselamatan diri, keluarga dan juga anggota masyarakat yang lain.

Ketiga, berilah kerjasama yang terbaik kepada petugas kesihatan ketika mendapatkan rawatan. Jangan sesekali menipu sebarang maklumat seperti sejarah perjalanan atau jika ada kontak dengan mana-mana kes positif sebelum ini. Perkara ini cukup penting kerana maklumat tersebut bukan saja boleh membantu petugas
kesihatan memberikan rawatan yang betul, malah boleh mengurangkan risiko jangkitan kepada para petugas kesihatan juga. Jadi sekali lagi jika kita mahu magis ini berlaku, setiap anggota masyarakat perlu ada sikap bertanggungjawab dan
sentiasa jujur.

Ironinya sama ada kita berjaya atau tidak menamatkan penularan wabak ini semuanya bergantung kepada diri kita sendiri. Tahap disiplin dan komitmen kita akan menentukan sejauh mana apa yang diharapkan itu boleh direalisasikan. Jadi walaupun trend peningkatan kes positif di fasa pertama dan kedua sedikit melegakan kita serta menidakkan pelbagai ramalan yang lebih buruk, jangan sesekali kita leka dan ambil mudah. Sebaliknya inilah masa untuk kita meningkatkan lagi tahap pematuhan dan disiplin diri supaya kita dapat benar-benar memutuskan rantaian,
sekali gus menamatkan penularan wabak ini. Ayuh rakyat Malaysia mari kita menamatkan penularan wabak ini.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

 

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

+ posts