KUALA LUMPUR – Segala-galanya tampak sudah menjadi permulaan indah buat Pulau Pinang musim ini di pentas Liga Premier apabila masih kekal rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan serta berjaya menyamai pencapaian terbaik di awal musim yang pernah dilakukan pada 2015.
Bagaimanapun, penularan wabak Covid-19 menyaksikan badan pentadbir liga, Malaysian Football League(MFL), menangguhkan liga sejak 16 Mac lalu sekali gus menghentikan seketika catatan indah Pulau Pinang.
Ketua jurulatihnya, Manzoor Azwira, mengakui sedikit risau momentum yang sedang dibina skuad Harimau Kumbang itu akan terjejas jika Liga Malaysia kembali bersambung selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 berakhir.
Namun, beliau menjadikan itu sebagai cabaran buat dirinya dalam membina kembali pasukan sambil sentiasa berusaha mengingatkan semua pemain jangan leka mengekalkan kecergasan sepanjang tempoh PKP.
“Kalau diikutkan resipi prestasi cemerlang Pulau Pinang di awal musim adalah kerana kami bermula antara pasukan paling awal melakukan persiapan dan ini membantu banyak dalam tingkatkan persefahaman pemain.
“Bila liga ditangguhkan seperti ini, memang saya bimbang rentak positif yang kami sedang bina akan berbeza memandangkan tempoh persiapan nanti mungkin tidak sama seperti persiapan pra musim.
“Jadi, saya anggap ini sebagai satu cabaran sepanjang tempoh PKP ini dalam usaha memastikan pemain kekal berdisiplin walaupun melakukan latihan di rumah.
“Saya telah merangka pelbagai program sepanjang tempoh PKP ini yang bersesuaian dengan keadaan pemain tetapi mereka juga kena sama-sama membantu dengan ikuti apa yang telah diarahkan,” katanya yang bekas pemain negeri itu.
Pulau Pinang sempat bergelar pendahulu seketika Liga Premier selepas dua perlawanan apabila menang besar 4-2 ke atas Sarawak United dan 4-1 bertemu Selangor 2.
Namun,dua keputusan seri iaitu ketika berdepan Perak II dan Kuching FA membuka ruang kepada Terengganu FC II serta Kelantan United FC memintas kedudukan Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Manzoor bangga dengan pengiktirafan media sosial 433 terhadap jaringan Endrick Dos Santos ketika bertemu Sarawak United yang disifatkan mempunyai ciri-ciri gerakan tiki-taka.
Video itu sudah ditonton lebih kira-kira 5 juta dalam media sosial 433 sejak 8 April lalu yang mempunyai 27.3 juta pengikut.
“Ini satu perkara yang menggembirakan sebagai jurulatih dan saya anggap jaringan tersebut sebenarnya dibina atas hasil gerakan semangat berpasukan.
“Perkara sebegini mampu memberikan keyakinan tambahan buat pemain dan sebagai jurulatih sudah tentu mengharapkan mereka mampu terus konsisten pada masa akan datang.
“Apa yang pasti, saya memang teruja dengan gol terbabit kerana mendapat pengiktirafan sehingga luar negara dan harap perkara ini mampu berikan semangat bukan sahaja buat pemain-pemain muda Pulau Pinang tetapi untuk seluruh Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette