Home Utama Hanya 85 kes baharu positif Covid-19 manakala 169 pulih dan discaj

Hanya 85 kes baharu positif Covid-19 manakala 169 pulih dan discaj

Perkembangan terbaharu di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini menyaksikan Selangor Mansion merekodkan pertambahan sebanyak 22 kes positif Covid-19 baharu setakat hari ini.

PUTRAJAYA – Perkembangan terkini Covid-19 di negara ini menyaksikan kes baharu positif Covid-19 semakin berkurangan malah angka yang dicatatkan sehingga pukul 12 tengahari ini hanya 85 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes-kes yang dilaporkan di beberapa negeri juga menunjukkan pengurangan dan ia mungkin didorong oleh keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD.

Katanya, laporan terbaharu itu menjadikan jumlah kes positif virus pandemik setakat ini adalah sebanyak 5,072.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,342 kes dan mereka telah diasingkan dan diberikan rawatan.

“Sehingga kini, seramai 56 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Malah terdapat 169 kes terbaharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 2,647 kes iaitu dengan kadar discaj 52.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Bilangan kes yang didiscaj hari ini hampir dua kali ganda kes baharu Covid-19,” katanya dalam sidang media situasi terbaharu jangkitan penyakit Covid-19 di Kementerian Kesihatan di sini.

Dalam pada itu tambah beliau, daripada dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, terdapat pertambahan 1 kes kematian baharu berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurutnya, ia sekaligus menyaksikan jumlah kumulatif kes kematian akibat pandemik virus maut itu di negara ini adalah sebanyak 83 kes setakat ini (1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Kes kematian ke-83 (kes ke-4988) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaysia pada 21 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 15 April 2020 jam 6.41 pagi,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.