Home Nasional PKP: KKM sokong tindakan lebih tegas

PKP: KKM sokong tindakan lebih tegas

Deretan kenderaan ketika sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan susulan penularan Wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Selayang Baru-Templer, Gombak. foto AFIQ RAZALI, 04 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil tindakan lebih tegas diambil ke atas masyarakat yang ingkar kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga yang bermula hari ini hingga 28 April ini.

Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah berkenaan diharap dapat memberi impak positif dalam menangani penularan Covid-19.

Katanya, PKP fasa bertujuan untuk meneruskan tindakan KKM sedia ada, serta menggiatkan lagi usaha mengurangkan kes positif COVID-19 dengan menggunakan pendekatan bersasaran.

“Kepatuhan masyarakat terhadap arahan ini adalah amat penting pada ketika ini, namun berdasarkan pemantauan yang telah dijalankan oleh pihak berwajib dan juga keadaan trafik jalan raya diperhatikan kebelakangan ini, didapati masyarakat semakin tidak akur terhadap arahan PKP ini.

“KKM khuatir ketidakpatuhan kepada PKP boleh membatalkan usaha keras semua pihak yang telah diambil setakat ini dan terima kasih kepada semua pihak berwajib dalam membantu menguatkuasakan arahan PKP ini agar tahap keakuran dapat ditingkatkan.

“KKM menyeru kerjasama semua rakyat Malaysia dalam memainkan peranan masing-masing dalam menangani penularan wabak ini dan memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan,” katanya pada sidang media mengenai penularan wabak Covid-19 hari ini.

Menurut Noor Hisham, tren jumlah kes baharu COVID-19 terkawal yang mendadak dalam tempoh PKP fasa pertama dan kedua.

Ujarnya, jumlah kes harian yang didiscaj dari wad meningkat saban hari menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan hasil daripada pelaksanaan PKP. – MalaysiaGazette