Home Utama Video Kita Mesti Menang: Frontliners HKL raih satu juta tontonan

Video Kita Mesti Menang: Frontliners HKL raih satu juta tontonan

Video eksklusif Kita Mesti Menang: Frontliners HKL terbitan MalaysiaGazette meraih 1 juta tontonan dalam masa 21 jam.

KUALA LUMPUR- Kira-kira 21 jam selepas ditayangkan, video eksklusif Kita Mesti Menang: Frontliners HKL terbitan MalaysiaGazette berjaya meraih satu juta tontonan.

Video berdurasi 9 minit 24 saat itu memaparkan jerih-perih dan pengalaman sebenar petugas-petugas kesihatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika berhadapan dengan wabak Covid-19 sejak empat bulan lalu.

Aktiviti belakang tabir itu tidak banyak dikongsikan di media-media massa apatah lagi dalam laporan yang bersifat menyeluruh.

Ia merangkumi kesemua fasilti pengurusan Covid-19 bermula di pusat saringan, pusat panggilan telefon, perkhidmatan jahitan PPE secara sukarela, wad pesakit termasuklah unit rawatan rapi (ICU) dan High Dependency Ward sehinggalah kepada petugas pembersihan.

Penghasilan laporan ekslusif itu adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pengorbanan barisan hadapan di dalam memastikan pesakit Covid-19 diberi rawatan terbaik dan dalam masa sama penularan wabak tersebut dapat dibendung.

https://www.facebook.com/MalaysiaGazette/videos/172164000580784/

Video dengan kerjasama Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Kementerian Kesihatan Malaysia itu juga adalah lambang penghargaan MalaysiaGazette terhadap usaha yang telah dijalankan oleh petugas-petugas kesihatan di seluruh negara dalam memerangi wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah HKL, Dr. Kamaruddin Alias dalam satu pesanan WhatsApp kepada MalaysiaGazette menyatakan rasa terima kasih warga hospital berkenaan kerana telah menghasilkan sebuah video lengkap yang mengandungi setiap aktiviti petugas dalam pengurusan wabak Covid-19.

“Satu video yang komprehensif. Tahniah.

“Keseluruhan warga HKL berasa terharu dan berterima kasih,” katanya.

Menerusi komen-komen yang diterima daripada pembaca MalaysiaGazette pula, hampir keseluruhan mengucapkan terima kasih dan penghargaan mereka kepada barisan hadapan pengurusan Covid-19 di Malaysia.

Krew MalaysiaGazette yang terlibat dalam pembikinan Kita Mesti Menang.

Mereka yang memuji langkah MalaysiaGazette yang sanggup turun padang membuat liputan eksklusif pengurusan Covid-19 di HKL demi menyampaikan maklumat tepat dan terperinci kepada pelayar-pelayar portal tersebut.

“Terkesan sungguh dengan dokumentari MGTV ini #patuharahan #stayathome #mgtvterbaik,” kata Payung78.

“Keluar airmata tengok video ini. Terima kasih frontliners,” kata Nur Fazliyana pula.

“Kami sebagai rakyat Malaysia akan sentiasa mendoakan anda di barisan hadapan, walaupun kami tidak mampu untuk berbuat apa-apa, kami akan patuh kepada arahan #stayathome,” kata sweetlilcheese.

Selain dalam bentuk video, liputan komprehensif itu juga dapat dibaca menerusi buletin dalam talian (flip version) di  https://online.fliphtml5.com/oiwnq/vwes/.

Berita-berita yang berkaitan turut dipaparkan di portal http://www.malaysiagazette.com

— MalaysiaGazette