LONDON – Penyerang muda Manchester United, Marcus Rashford mendedahkan dua impian utamanya dalam karier bola sepak.
Pemain berusia 23 tahun itu mahu mengembalikan status Manchester United sebagai juara dalam beberapa tahun ini selain membantu pasukan kebangsaan England memenangi trofi Piala Dunia.
Rashford ketika ini merupakan salah satu penyerang terbaik untuk United dan England sebelum akhirnya terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan tulang belakang pada Januari lalu.
Sebelum ini, Rashford adalah salah satu pemain terpenting dalam skuad Ole Gunnar Solskjaer yang sedang membina barisan pemain muda di United.
“Semua pemain mahu memenangi trofi.cSelagi pasukan berjaya dan selagi kita dapat kembali merangkul gelaran dan piala, itu adalah perkara yang paling penting buat saya.
“Saya mempunyai impian untuk memenangi Piala Dunia (bersama England) dan juga membantu Manchester United menjuarai Liga Juara-Juara,” kata Rashford kepada FourFourTwo.
Rahsford juga mengakui bahawa MU kini masih berada di tahap untuk mengejar kualiti Manchester City dan Liverpool, iaitu dua pasukan terkuat di Liga Perdana Inggeris.
“Kita harus mula menunjukkan tanda-tanda bahawa kita dapat kembali seperti dulu.Bola sepak telah banyak berubah, jadi semuanya tidak akan sama, tetapi kita tahu kelab ini akan dapat melakukannya,” katanya. – MalaysiaGazette