Home Politik Malaysia perlu mod digital sepenuhnya hadapi Covid-19

Malaysia perlu mod digital sepenuhnya hadapi Covid-19

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia mesti meningkatkan kesiapsiagaannya untuk terus berfungsi seperti biasa biar pun sedang berdepan dengan krisis kesihatan akibat ancaman Covid-19.

Ini kerana kerajaan satu-satunya sandaran rakyat untuk kelangsungan kehidupan dan keselamatan dalam waktu luar biasa seperti ini termasuk sistem penyampaianmya mesti segera beranjak ke persada digital secara sepenuhnya

“Lihat sahaja bagaimana sistem persekolahan kita gagal beroperasi dengan mod digital secara sistematik dan lancar dalam waktu pandemik sebegini.

“Banyak sekali masa pembelajaran terbuang, menghantar tugasan melalui whatsapp ataupun emel bukan pembelajaran dalam talian.

“Apatah lagi bila ramai ibu bapa terpaksa mengutamakan wang untuk membeli makanan daripada data internet, kerana kesusahan hidup dan tarif data yang mahal,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam hantaran terbaru di Facebooknya hari ini.

Bagi tujuan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan penjelasan bagaimana urusan persekolahan harus beroperasi secara produktif dari sekarang jika keadaan itu berlarutan.

“Sistem penyampaian digital secara total mesti menjadi kepentingan nasional yang diutamakan dan dilaksanakan secara radikal.

“Prasarana rangkaian internet perlu diperluaskan terutamanya di kawasan unserved dan underserved. Segala jurang ini harus ditutup segera,” katanya.

Kerajaan juga ujarnya wajar mempertimbangkan penubuhan syarikat penyedia perkhidmatan internet dengan tujahan inovasi dalam penyediaan perkhidmatan internet khusus kawasan luar bandar.

Selain itu, penyediaan satu pelantar digital berpusat dan terpadu, yang membolehkan segala urusan bersama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dilakukan secara dalam talian menerusi satu portal, akaun dan sistem.

“Ia akan mengurangkan birokrasi, memaksimumkan ketelusan sekali gus meningkatkan kecekapan dan kecepatan urusan,” katanya.

Bagi tujuan kebolehmilikan tarif data internet, kerajaan mesti membuka seluas-luasnya ruang persaingan untuk penyediaan pelbagai perkhidmatan jalur lebar dan dengan itu tarif data akan menjadi lebih murah dan kompetitif.

“Malah kepada segmen tertentu dalam masyakat, data percuma untuk tujuan pembelajaran, keusahawanan dan khidmat masyarakat harus disediakan.

“Pandemik Covid-19 ini memberi kita satu pengajaran besar bahawa sistem penyampaian kerajaan mesti kalis krisis dan tidak boleh dilumpuhkan.

“Hanya dengan demikian, Kerajaan akan dapat melakukan tugasnya melindungi rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette