Home Nasional Seramai 9,761 rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang

Seramai 9,761 rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang

Datuk Kamarudin Jaffar

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri sehingga hari ini telah berjaya membantu seramai 9,761 rakyat Malaysia yang terkandas di 63 negara pulang ke tanah air.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kesemua itu dibawa pulang menerusi pelbagai kaedah termasuk menerusi penerbangan komersial dan khas serta pengangkutan darat dan laut.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, ia termasuklah seramai 2,873 rakyat Malaysia yang terkandas di India dengan menggunakan 21 penerbangan.

“Sekali lagi saya tegaskan, Wisma Putra sedang berusaha membawa pulang seramai mungkin rakyat Malaysia yang terkandas di India tanpa mengambil kira bangsa dan agama mereka.

“Wisma Putra sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik tanpa diskriminasi kepada mana- mana pihak,” katanya pada sidang media secara langsung di Facebook hari ini.

Kamarudin menambah, Wisma Putra ketika ini masih lagi menunggu kelulusan satu penerbangan untuk membawa keluar rakyat negara dari Chennai.

Jelas beliau, penerbangan tersebut pada asalnya telah dijadualkan pada 14 April lalu.

“Wisma Putra dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi akan terus berunding dengan Kerajaan India demi membolehkan penerbangan ini dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai juga telah menghulurkan bantuan konsular sewajarnya termasuklah mendapatkan hotel serta menyediakan makanan dan minuman kepada semua yang terkesan ekoran situasi ini,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Selamat pulang.. Malaysia memang terbaik.
    Hnya rakyatnya saja yang segelintirnya ada yg bongkak!!

Comments are closed.