BANGI – Keputusan kerajaan untuk tetap tidak membenarkan pelajar universiti pulang ke kampung halaman masing-masing pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga ini adalah demi keselamatan dan nyawa mereka.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup, cara ini adalah yang terbaik bagi memastikan keselamatan semua rakyat pelbagai lapisan masyarakat dalam negara terjamin khususnya mengelakkan pelajar universiti terdedah dengan risiko dijangkiti wabak Covid-19.
“Tapi dalam masa yang sama niat kita untuk mereka kekal di kampus kerana mengutamakan keselamatan nyawa mereka supaya mereka tidak balik ke kampung masing-masing yang mungkin memberi risiko jangkitan yang lebih tinggi.
“Jadi kita minta semua kekal di tempat duduk masing-masing, kekal di kampus dan sama-sama memberi sokongan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu Arthur hadir di Pusat Pengurusan Pusanika Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menyerahkan bantuan makanan kepada pelajar universiti tersebut.
Bantuan makanan yang diagihkan hari ini adalah sumbangan daripada Koperasi Tanjong Keramat.
Lebih kurang 1,400 pelajar UKM kini berada di kampus semenjak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.
Arthur dalam masa yang sama menegaskan, kerajaan tidak akan mengabaikan kebajikan mahasiswa dan mahasiswi yang kini terkandas di kampus mereka.
“Di dalam waktu PKP ini kerajaan menanggung kos kebajikan makan dan minum pelajar ada yang tinggal di kampus dan luar,” tambahnya.
Baru-baru ini Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP fasa ketiga terhadap pelajar universiti tidak berubah.
Jelasnya, kerajaan menetapkan pelajar universiti tetap berada di dalam kampus dan mereka tidak boleh pulang ke kampung halaman masing-masing meskipun wujud keresahan ibu bapa yang mahukan anak mereka pulang. – MalaysiaGazette