Home Pendapat Transformasi Pendidikan dalam krisis pandemik Covid-19

Transformasi Pendidikan dalam krisis pandemik Covid-19

Oleh: Dr. Muhamad Afzamiman Aripin & Dr. Muhammad Abd Hadi Bunyamin

VIRUS baharu yang berasal daripada haiwan telah menjangkiti beberapa kelompok manusia di Wuhan dan beberapa daerah di China. Tidak sampai beberapa bulan, wabak yang kini dikenali sebagai Covid-19 (Corona Virus Infectious Diseases 2019) telah merebak ke seluruh pelusuk wilayah yang diduduki oleh manusia. Daripada benua Asia ke Eropah, Amerika, Asia Barat, Afrika dan Australia, semuanya tidak berkecuali dalam menerima impak pandemik yang semakin menular.

Batang tubuh manusia yang masih janggal dan asing dengan kehadiran virus ini menjadikan ia musuh halus yang sangat berbahaya. Justeru banyak negara telah mula mengambil langkah untuk  mengurangkan kadar penularan wabak ini dengan mengadakan sekatan pergerakan kepada rakyat masing-masing termasuklah larangan untuk bekerja di pejabat serta menghadiri sesi persekolahan dan kuliah.

Sekatan pergerakan ini, secara tidak langsung telah meningkatkan kadar penggunaan Internet seluruh dunia. Laporan daripada pelbagai sumber menunjukkan kadar penggunaan aplikasi atas talian meningkat secara mendadak sepanjang proses sekatan dijalankan di negara-negara yang terkesan. Hal ini termasuklah dalam urusan hiburan, jual beli, pekerjaan danpembelajaran maya.

Dalam konteks pendidikan, para guru dan pensyarah mula mengambil cakna secara rela dan terpaksa untuk menguasai kemahiran pengajaran melalui medium digital. Hal ini kerana, meninggalkan terus proses pengajaran dan pembelajaran akan memberi kesan domino kepada hal-hal lain seperti pengurusan, peperiksaan, penganugerahan, kewangan dan pelbagai aspeklagi yang berada di luar konteks kurikulum dan silibus.

Para guru dan pensyarah mula bersedia dengan pelbagai aplikasi digital seperti Google Classroom, Google Meet, BigBlueButton, Zoom, dan sebagainya. Latihan-latihan pendekatan pengajaran dan pembelajaran siber (cybergogy) yang sebelumnya hanya mendokong pengajaran bersemuka telah dijadikan pendekatan utama dalam meneruskan amanah pendidikan yang dikendong.

Selain kesediaan fizikal seperti aplikasi pembelajaran dan akses internet, pendidikan dalam talian dalam gelombang mengejut pandemik harus memikirkan faktor lain seperti kesediaan emosi dan persekitaran sosial pelajar. Beberapa perkara perlu difikirkan secara bersama bagi memastikan kesejahteraan guru, pensyarah dan pelajar dapat diseimbangkan.

Situasi ini lebih jelas dalam bentuk penerangan seperti yang diguna pakai oleh YAB Perdana Menteri: “Johan, merupakan pelajar di sebuah kolej. Disebabkan pandemik yang melanda, beliau dimaklumkan bahawa kelas akan dijalankan secara atas talian. Apabila sesi online dimulakan, Johan dimaklumkan oleh pensyarah A untuk menggunakan aplikasi pembelajaran synchronous A dari pukul 8 pagi hingga 9 pagi. Sejak pukul 7.30 pagi Johan telah bersedia untuk memulakan pembelajaran. Dia terpaksa bersedia awal kerana bimbang talian Internet telefon pintarnya mungkin akan mengalami gangguan kerana trafik Internet agak perlahan di kawasan pangsapurinya. Selesai satu jam pembelajaran, data yang beliau telah gunakan adalah sebanyak 1GB. Pukul 11 sehingga pukul 12 tengah hari beliau menggunakan data yang dibeli sendiri. Kali ini beliau perlu membuang beberapa aplikasi dalam telefon pintar kerana pensyarah B mahu menggunakan aplikasi pembelajaran synchronous B. Maklumlah, telefon pintarnya sudah penuh dengan gambar WhatsApp dan dokumen-dokumen untuk lima lagi kelas yang akan dilalui dalam minggu tersebut.”

Ini cuma secebis sahaja daripada kesusahan yang dialami Johan dari aspek teknikal, tidak termasuk dengan rengekan adik-adiknya, permohonan untuk menjadi ketua keluarga interim bagi membeli keperluan harian, perebutan gajet dan data internet dalam kalangan ahli keluarga dan kekangan kewangan isi rumah. Dalam persekitaran pembelajaran inilah Johan dan “Johan-Johan” yang lain akan berperang untuk memastikan beliau boleh terus melibatkan diri dengan proses pembelajaran secara digital.

Begitu juga dengan “Cikgu Hidayah” yang bertukus lumus memastikan anak muridnya dapat terus belajar. Kelas-kelas pengendalian platform digital dihadiri hampir saban minggu bagi memperkasakan pendekatan cybergogy beliau. Mesyuarat demi mesyuarat dihadiri secara maya sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan. Dalam masa yang
sama Cikgu Hidayah perlu memasak untuk anak-anak yang sentiasa kelaparan di rumah. Selain perlu membahagikan fokus dalam menguruskan kerja, anak-anaknya juga perlu dibantu untuk belajar. Di sebelah malamnya, beliau juga perlu menyediakan bahan-bahan untuk pembelajaran anak-anak muridnya. Ironinya, Cikgu Hidayah merupakan ibu kepada
Johan. Atas dasar tanggungjawab, guru ini, seperti ibu bapa lain perlu bijak mengawal emosi dan membahagikan masa.

Dalam krisis dan cabaran yang pelbagai, pendidikan dalam talian juga perlu kembali kepada konsep asas pembangunan manusia yang holistik dengan mengambil kira faktor sosial, emosi dan kognitif. Bukan sahaja dalam kalangan para pelajar, tetapi juga para pendidik yang turut sama terkurung dalam dimensi  anggungjawab di rumah dan di tempat kerja. Saling menghormati dalam kalangan pemegang taruh, berganding bahu, bertoleransi, bertimbang rasa dan berempati adalah kunci kepada pengajaran dan pembelajaran yang berjaya.

Penulis percaya sebahagiannya telah digerakkan oleh kebanyakan institusi pendidikan awam dan swasta di negara ini. Selebihnya adalah tanggungjawab keseluruhan komuniti dalam  enghidupkan ‘the new norm’ atau norma baharu dalam menyokong agenda pendidikan negara. Kehidupan selepas pandemik Covid-19 ini pasti akan berbeza dengan sebelumnya. Dunia akan pasti berubah, justeru manusia harus bijaksana mengadaptasi realiti baru kelak dalam sedikit masa lagi.

Dr Muhamad Afzamiman Aripin
Dr. Muhammad Abd Hadi Bunyamin

 

 

 

 

 

Penulis merupakan Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia.