Home Nasional KWP kumpul RM2 juta untuk hadapi PKPD

KWP kumpul RM2 juta untuk hadapi PKPD

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri memeriksa suhu badan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada Majlis Sumbangan topeng muka, termometer dan pembersih tangan di Jabatan Penguatkuasa DBKL Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sedang mengumpulkan dana berjumlah RM2 juta untuk menghadapi kemungkinan sekiranya berlaku Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Wilayah Persekutuan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya kini sedang memantau secara rapi perkembangan mengenai kes-kes baru selepas mendapat arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) ekoran terdapat lokaliti lebih kecil dan bertumpu di Wilayah Persekutuan.

Katanya, Kementerian Wilayah Persekutan sedang bersedia unutk mengumpulak bekalan makanan sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan perlunya ada banyak lagi kawasan yang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Kita sedang berunding dengan Panglima Batalion ke-12 untuk kalau jumlahnya besar, kita akan adakan dapur bergerak.

“Sekarang kita beli pek makanan yang kosnya tinggi kerana kita jangka satu jumlah lebih besar terpaksa kita tanggung. Walaupun ia mungkin babitkan warga asing,” katanya.

Beliau demikian ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan peralatan kepada barisan hadapan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini hari ini.

Dalam pada itu Annuar yang juga Pengerusi jawatankuasa kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan berkata, pihaknya menggesa KKM agar tidak teragak-agak untuk membuat keputusan sekiranya terdapat kawasan yang perlu dikenakan PKPD.

Ujarnya, tidak perlu menangguhkan perkara itu kerana kementerian itu bersedia untuk mengambil tanggungjawab walaupun ia agak berat untuk dipikul.

“Sekarang kita beri makan sekitar 3,000 hingga 4,000 orang. Kalau terpaksa beri makan kepada 10,000 otrang pun kita akan ambil tangunggjawab ini, kerana kita tak nak fikir ini soal warganegara atau tidak,” ujarnya.

Katanya lagi, pihaknya juga tidak mahu KKM merasakan adanya kekangan meskipun bulan Ramadan kini semakin hampir tiba.

Tambah beliau, apa yang penting adalah ketegasan kerana beliau mahu Wilayah Persekutuan terutamanya Kuala Lumpur bebas daripada wabak Covid-19 secepat mungkin.

“Mungkin akan berlaku, kita terpaksa jamu makan untuk 10,000 orang sehari, tapi soal nak atasi Covid-19 ini tak boleh bertangguh dan teragak-agak.

“Kena tegas, walau susah di peringkat awal, kesusahan kemudian lebih dahsyat lagi. Insya Allah RM2 juta dapat kita kumpul hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette