Home Dunia Covid-19: Prayuth seru golongan terkaya Thailand bantu tangani masalah ekonomi

Covid-19: Prayuth seru golongan terkaya Thailand bantu tangani masalah ekonomi

Prayuth Chan-o-cha. foto Agensi

BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha, berkata beliau akan menemui 20 orang terkaya di negara ini, untuk mendapatkan bantuan bagi menangani kemerosotan ekonomi akibat wabak COVID-19.

Dalam ucapannya yang disiarkan di televisyen, beliau menyeru semua pihak bersatu padu bagi mengharungi perjuangan melawan COVID-19 kerana kesan virus itu sangat besar dan rumit.

Katanya, semua mesti bekerjasama dan memanfaatkan setiap bakat yang ada untuk membantu memulihkan ekonomi pasca COVID-19.

“Golongan kaya ini sangat berpengaruh dalam ekonomi negara dan ada di antara mereka terkaya di dunia. Saya akan menulis kepada mereka minta mereka memainkan peranan penting dalam kerjasama dengan kami untuk membantu negara.

“Saya harap semua orang akan menyumbang lebih banyak untuk membantu dalam krisis ekonomi COVID-19,” katanya. Namun, beliau tidak mendedahkan nama individu terkaya itu.

Setakat ini, Thailand melaporkan 2,700 kes COVID-19 dengan 47 kematian.

Chearavanont bersaudara dari Charoen Pokphand Group (CP Group), yang berjaya membida operasi Tesco Thailand dan Malaysia bernilai AS$10.6 bilion, menduduki tangga teratas 50 senarai Orang Paling Kaya Forbes Thailand, dengan nilai kekayaan AS$27.3 bilion.

Pemilik bersama Red Bull, Chalerm Yoovidhya di tangga kedua dengan kekayaan bernilai AS$20.2 bilion diikuti Charoen Sirivadhanabhakdi dari Thai Beverage dengan AS$10.5 bilion.

Bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, yang digulingkan pada 2006 dan kini hidup dalam buangan, juga termasuk dalam senarai itu.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan ramalan ekonomi Thailand pada 2020 kepada penguncupan 6.7 peratus, menjadikannya prestasi terburuk di antara negara ASEAN.

Thailand sedang menyaksikan kemelesetan terburuknya sejak tahun 1998 kerana pandemik dan lockdown akibat COVID-19 yang menjejaskan industri pelancongan, pembuatan dan eksport, kata RHB Research Institute Sdn Bhd. – Bernama

1 Komen

  1. Mintaklah org terkaya dia… sorang tu cukup nak support siam, sblm kerajaan ada mmg kerja dia pe wat cam tu…

Comments are closed.